Taktik Serangan Bersatu Sudah Lapuk & Mengelirukan

RAKAM SIJIM

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) Sabah dilihat terus membuat serangan fitnah apabila kononnya berjaya menarik beberapa pemimpin dan ahli Parti Warisan Sabah (Warisan).

Bersatu Sabah yang kebanyakan ahlinya adalah bekas UMNO Sabah turut mendakwa kononnya menerima beberapa ketua cawangan Warisan di Tuaran.

Ketua Bahagian Warisan Tuaran, Rakam Sijim berkata, permainan lompat parti berulang kali menggunakan orang yang sama merupakan taktik yang membosankan dan boleh dijangka.

Katanya, tidak disangka taktik ini masih digunakan untuk mengelirukan orang ramai bagi meraih sokongan di laman media sosial yang anti Warisan.

“Mungkin ini sahaja modal yang ada selepas gagal mencari kelemahan kerajaan Warisan yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rakam yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, cawangan yang dikatakan melompat parti meninggalkan Warisan tidak wujud.

“Untuk pengetahuan semua, sebenarnya tiada cawangan Warisan yang didaftarkan di bawah nama Kampung (Kg) Termunong seperti yang didakwa,” ujarnya.

Katanya, cawangan Kg Sri Berundung Bolong Baru juga tidak wujud, dan kampung itu pun tidak pernah wujud.

“Paling hampir mungkin Kampung Sri Bendung, tapi cawangan Warisan juga tidak ada didaftarkan di situ.

”Cawangan Kampung Indai wujud, tetapi sebenarnya Ketua Cawangan di situ bernama Idrus Sihul, dan masih teguh  bersama perjuangan Warisan,” katanya.