Taktik Pecah Undi Tidak Lagi Berkesan – Junz Wong

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PUTATAN: Taktik meletakkan banyak calon bertanding dalam satu kawasan bagi memecahkan undi tidak akan berjaya digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Junz Wong berkata, taktik itu mungkin berjaya pada zaman 80an dan 90an dimana, akses internet masih belum ada.

Calon Warisan Tanjung Aru ini berkata, mungkin dulu taktik memecahkan undi sebegini berkesan tapi dunia sekarang tidak sama seperti dulu.

“Hari ini, dalam dunia berteknologi, orang boleh berkomunikasi dengan mudah dan kita boleh tahu perasaan dan pendirian orang.

“Jadi, saya tidak melihat taktik pecahkan undi dengan memperbanyakkan calon dan parti ini akan berkesan pada masa sekarang,” katanya ketika ditemui Majlis Pengenalan Golden Melon di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Putatan, hari ini.

Mengenai kenyataan mantan Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat yang melabel dia sebagai katak politik termuda, Junz berkata, beliau tidak keluar dari DAP untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, beliau keluar DAP dan tidak mempunyai sebarang parti selama beberapa bulan sebelum bersama-sama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Darell Leiking dan Peter Anthony membentuk Warisan.

“Saya antara pengasas Warisan. Jadi saya tidak nampak dimana saya melompat.

“Sebelum keluar DAP saya menentang Musa Aman dan selepas membentuk Warisan, kami masih menentang Musa. Saya tidak sertai mereka (BN).

“Jadi saya tidak nampak dimana relevan kenyataan Chong itu. Jika dia tidak dapat bezakan melompat dan membentuk parti baharu, lebih baik dia (Chong) bersara,” jelasnya.

Junz turut melahirkan kekecewaan kerana Chong selaku kenalan keluarganya bertindak sebagai orang yang memecahkan undi kaum Cina.

Dalam PRN kali ini, pertembungan paling ramai calon adalah 11 penjuru di DUN Bengkoka dan 10 penjuru di Inanam.