Takiyuddin Kata PRN Sabah Dijangka Telan Kos Berganda

KOTA BHARU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijangka akan menelan kos lebih besar berikutan pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata peruntukan bertambah berikutan proses PRN diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pilihan raya ketika COVID-19 ini, semestinya babitkan peruntukan lebih tinggi. Salah satu contoh dakwat celup tidak boleh digunakan seperti biasa dan perlu disediakan dengan jumlah banyak.

“Pada masa sama, proses sanitasi, menyediakan tempat penjarakan dan semestinya proses mengambil masa lama yang sekali gus membabitkan elaun turut bertambah.

“Jika dulu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), membabitkan kos RM500 juta, sekiranya PRU dilakukan sekarang, ia akan menelan kos lebih RM1 bilion. Itu gambaran yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengagihan daging korban di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PRN di Sabah akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN dimaklumkan kepada SPR.

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membincangkan bagaimana kaedah pelaksanaan pilihan raya di Sabah dapat diadakan mengikut SOP.

Katanya, walaupun SPR ada sedikit pengalaman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, bulan lalu, namun ia tidak boleh disamakan dengan PRN Sabah dan SOP perlu dilaksanakan dengan betul di semua DUN di Sabah bagi mengelak wujud kluster baharu COVID-19.

Semalam, SPR memaklumkan sudah menerima makluman rasmi daripada DUN Sabah berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15.

PRN Sabah diadakan selepas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN, Khamis lalu, beberapa jam selepas bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.