Tak Perlu Tangguh PRN, Keadaan Sabah Terkawal – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA: Situasi jangkitan Covid-19 di Sabah masih terkawal ketika ini dan tiada keperluan untuk menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) Sabah, kata Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah (gambar).

Jelas beliau, Kementerian Kesihatan berharap dapat mengekang penyebaran Covid-19 setelah pilihan raya berakhir pada Sabtu ini.

“Hari pengundian tiga hari lagi, jadi kami berharap kami dapat mengawalnya selepas pilihan raya.

“Setelah pilihan raya, kami akan melakukan pengawasan lain. Dan saya akan pastikan kita memantau situasi ini, apakah kita perlu melakukan tindakan lain.

“Jadi saya fikir setakat ini … Dari penilaian KKM … Dari pengawasan kami, keadaan masih terkawal,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Noor Hisham berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan berhubung keperluan untuk menangguhkan PRN Sabah susulan peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Covid-19 kembali mencatatkan kenaikan di Malaysia, dengan 82 kes baru setakat tengah hari ini dan Sabah terus merekod kenaikan dengan 60 kes baru Covid-19 dan satu lagi kluster baru yang dirujuk sebagai Kluster Bangau-bangau telah dikesan di Semporna.

Peningkatan kes jangkitan Covid-19 berlaku ketika rakyat Sabah sedang bersiap untuk mengundi pada Sabtu ini, sekali gus menyaksikan ahli politik dari seluruh negara berkempen untuk calon masing-masing.

“Setakat ini kita sudah memantau dan mengawasi situasi di sana dan kami berpendapat jangkitan dapat dikawal, dikurangkan.

“Apa yang penting semua pihak, tidak kira petugas barisan hadapan atau orang awam, perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jika ia dipatuhi, kita akan berjaya memutuskan rangkaian jangkitan,” jelas Noor Hisham.

Awal hari ini (Selasa), Putrajaya mengumumkan rakyat Sabah yang memiliki gejala seperti demam atau batuk serta mereka yang berada di dalam kuarantin dibenarkan mengundi pada Sabtu ini.

Bagaimanapun, mereka yang positif Covid-19 tidak dibenarkan mengundi.

BACA LAGI DISINI: –

https://www.malaysiakini.com/news/543635