Tahap Kesihatan Badak Sumatera Jantan Terakhir Di Malaysia Merosot

102
Kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah sedang memantau keadaan Tam.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Badak Sumatera jantan terakhir di Malaysia kini berada dalam keadaan yang membimbangkan apabila tahap kesihatannya merosot sejak April.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, berdasarkan laporan daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah badak sumatera yang digelar sebagai Tam itu mula kehilangan selera sejak hujung April lalu.

“Hidupan liar itu kini dalam pemerhatian dan perubatan selama 24 jam. Ujian sedang dijalankan namun, didapati satu atau lebih organ dalamannya tidak berfungsi dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Menurutnya, Tam ditemui dan ditangkap pada Ogos 2008 apabila ianya mula keluar dari kawasan hutan dan kemudian memasuki kawasan ladang kelapa sawit.

Selepas seminggu kakitangan JHL Sabah, SOS Rhino dan WWF Malaysia mendekati dan menemaninya di kawasan ladang itu, Tam kemudian dipindahkan ke Rizab Hidupan Liar Tabin, ia ditempatkan di situ sehingga ke hari ini.

Ketika ditangkap, Tam berusia pertengahan 20an, kini usianya sudah agak tua untuk seekor badak sumatera.

Tam adalah haiwan yang begitu tenang dan mudah bagi kakitangan JHL berkerja dengannya.

Namun, usaha mendapatkan pasangan untuk Tam tidak berjaya apabila dua ekor badak sumatera betina yang ditemui di Sabah tidak cukup sihat untuk berpasangan dengannya.

Usaha menyelamatkan spesis badak sumatera daripada pupus masih belum berjaya apabila penggunaan teknologi canggih termasuk cubaan melakukan persenyawaan vitro dengan kerjasama Indonesia tidak berjaya dilakukan.

Christina berkata, usaha mencari pasangan untuk Tam dilihat tidak kesampaian apabila badak sumatera betina, Puntung ditangkap pada 2011 mempunyai ketumbuhan dalam rahim. Manakala, seekor lagi badak betina dikenali sebagai Iman yang ditangkap pada 2014 pula didapati mengalami fibroid pada bahagian rahim.

Disebabkan penyakit kanser yang dihidapi Puntung, ia telah dimatikan melalui proses euthanasia pada 2017.