Tafsiran Berbeza Punca Kenyataan Madius Disalah Erti – Shafie Apdal

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memberi fokus kepada usaha membangunkan Sabah bagi membolehkan negeri ini terus maju ke hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, rakyat perlu bersama-sama kerajaan untuk membangunkan Sabah dan bukannya bertelingkah mengenai perbezaan bangsa dan agama yang ternyata hanya akan membawa kepada perpecahan kaum.

“Apa yang penting sekarang adalah untuk kita maju ke hadapan. Beliau (Madius) cuma menyatakan kemungkinan bahawa pemimpin perlu menunjukkan contoh yang baik, itu sahaja. Namun, sudah tentu ada tafsiran berbeza dari mana-mana pihak.

“Apa yang penting sekarang adalah untuk kita maju ke hadapan.

“Saya berharap kita dapat bangunkan Sabah, apa yang rakyat mahukan adalah untuk kita membawa perubahan dalam pentadbiran kerajaan dan bukannya kita bergaduh sesama sendiri. Pergaduhan adalah satu isu yang tidak berpenghujung.

“Sejarah juga sudah membuktikan, tidakkan kita tidak belajar dari perkara itu? Hampir separuh usia kita melihat kepada perkara itu (perbalahan kaum), jika kita banyak melihat ke arah itu, tidak mungkin kita dapat capai apa yang anak-anak dan generasi akan datang mahukan,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dalam laman page Facebooknya yang dilihat menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru dan Pelancaran Kempen Membaca, di sini pada Khamis.

Mohd Shafie berkata, fokus harus diberi kepada pembangunan kemudahan prasarana untuk manfaat generasi akan datang dan bukan bertengkar tentang bangsa dan agama.

Jika dilihat di Sabah, kerajaan meraikan semua perayaan. Itu menunjukkan rakyat di negeri ini saling menghormati bangsa dan agama lain.

“Atas sebab itu, bila memberi peruntukan, kita berikan kepada semua agama dan kaum, kita beri peruntukan kepada masjid, begitu juga gereka. Ia kerana kaum beragama Kristian juga mengundi kita (jadi kerajaan),” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, perbezaan bangsa dan agama tidak sepatutnya menghalang masyarakat di Sabah untuk maju ke hadapan.

“Kita boleh bangkitkan isu tentang bangsa dan agama tapi jika ia memecahbelahkan kita, kenapa mesti kita bangkitkannya,” jelasnya.

Pada Ahad (21 Julai), Madius dalam Facebook pagenya menyatakan (sic) ’38 tahun lalu, seorang pemimpin Kerajaan Negeri Sabah berada di Tambunan mengadakan ucapara pengislaman beramai-ramai. Ramai yang terpaksa ikut kerana pelbagai ugutan seperti tidak masuk Islam tidak dapat Tanah, tidak dapat kerja dan pelbagai lagi ugutan’.

Berikutan itu, pada 22 Julai sekumpulan individu termasuk pemimpin politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung kenyataan Madius yang didakwa membangkitkan sensitiviti kaum dan agama.

Manakala pada Rabu, Polis Sabah membuka kertas siasatan berikutan laporan polis yang dibuat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan mendatangkan kegusaran.

BERITA BERKAITAN: –

Polis Buka Kertas Siasatan Berhubung Kenyataan Madius Tangau