Tabung Pendidikan Negeri Sabah Dilancar Bulan Depan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan melancarkan Tabung PendidikanNegeri Sabah (TPNS) pada bulan depan bagi membolehkan lebih ramai anak Sabah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penubuhan TPNS sebagai salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah 2015-2023.

Malah, ia juga selaras dengan salah satu teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya(SMJ) iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, beberapa inisiatif dilaksanakan kerajaan Gabungan Rakyat
Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) selepas mengambil alih tampuk pemerintahan
sebagai usaha menyokong pembangunan pendidikan di negeri ini.

“Ini termasuklah menyumbang sebanyak 10,000 komputer riba kepada pelajar
Tingkatan Lima dan Enam di Sabah.

“Dalam Belanjawan Sabah 2022, kerajaan turut memperuntukkan bantuan sosial sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis yang melibatkan 289,204 murid dengan peruntukkan sebanyak RM13.9 juta.

“Kerajaan negeri juga komited dalam meneruskan lagi dua bentuk bantuan khas
pendidikan yang diperkenalkan pada tahun 2021 iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT
(BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang melibatkan peruntukkan
sebanyak RM17.5 juta,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Kedua-dua bantuan itu memberi manfaat kepada seramai 5,000 pelajar mendapat bantuan BUDI dan seramai 40,000 pelajar menikmati bantuan BAKTI pada
tahun lalu.

Selain itu katanya, kerajaan negeri telah memperkenalkan bantuan dana bagi lebih
1,500 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah di Sabah dalam inisiatif yang dinamakan BAGUS dan bantuan bagi peralatan komputer di sekolah-sekolah yang dinamakan BISBAH.

“Kita turut memberi tumpuan kepada sekolah vernakular dan badan agama bukan
Islam di negeri ini, dengan sejumlah RM47 juta diperuntukkan untuk badan agama
bukan Islam serta untuk sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah persendirian di
Sabah pada tahun ini.

“Ia mencerminkan keikhlasan kerajaan untuk memastikan kebajikan semua kaum dan agama di Sabah akan terjaga,” ujarnya.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Pengarah Pendidikan Negeri, Tah Nia Jaman.

Dalam pada itu, Hajiji menasihatkan warga pendidik di Sabah supaya terus menjadi tonggak yang kukuh dalam melahirkan kemenjadian murid serta melahirkan sistem pendidikan yang sejahtera serta berkualiti.

“Sejajar dengan tema hari guru pada tahun ini ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’, kerajaan yakin dan percaya bahawa dengan adanya guru yang berkualiti tinggi baharulah bangsa dan negara mencapai kecemerlangan serta kegemilangan,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2022 kepada Datin Seri Dr. Nuinda Alias dan Anugerah Tokoh Kepimpinan kepada Madaile Basri.