Tabiat memandu laju sumbang peningkatan kadar kemalangan semasa musim perayaan

KOTA KINABALU: Perubahan sikap dalam kalangan pengguna jalan raya perlu dilakukan jika ingin melihat kadar kemalangan termasuk kemalangan maut di Sabah dapat dikurangkan semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, kadar kemalangan jalan raya semasa pelaksanaan Op Selamat sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada dua tahun sebelum ini memperlihatkan peningkatan.

Antara punca yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan adalah memandu laju, keadaan teknikal kenderaan seperti masalah brek tidak diperiksa serta tidak berhati-hati semasa melalui kawasan pembinaan jalan.

Beliau berkata, dalam Op Selamat sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri dua tahun sebelum ini, kemalangan yang berlaku menunjukkan peningkatan sebanyak 93 kes, iaitu dari 788 kes pada 2017 kepada 881 kes pada 2018.

Majlis Pelancaran Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri.

Mangsa maut yang direkodkan pula, meningkat 82 peratus, iaitu dari 11 mangsa pada 2017 kepada 20 mangsa pada tahun lalu.

Katanya, walau pelbagai kempen dilakukan namun, kemalangan maut masih menunjukkan peningkatan.

“Masalah ini boleh diatasi melalui perubahan sikap pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati, berwaspada, bertimbang rasa, tidak memandu secara melulu, tidak mementingkan diri, mematuhi had laju ditetapkan dan menghormati pengguna jalan raya yang lain.

“Jika pengguna mengubah sikap barulah kadar kemalangan maut semasa musim perayaan sebegini dapat diturunkan.

“Saya ingin mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan arahan pihak berkuasa ketika berada di atas jalan raya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Op Selamat Hari Raya Aidilfitri 2019, di sini pada Selasa.

Omar (empat kiri) bersama pengurusan Kompleks Membeli-belah Suria Sabah semasa pelancaran Op Selamat.

Omar berkata, jika dilihat jumlah saman yang dikeluarkan pula, sebanyak 14,043 saman dikeluarkan pada 2017 dan 18,016 saman pada tahun lalu. Ia memperlihatkan peningkatan 28.2 peratus. Kesalahan tertinggi adalah memandu melebihi had laju.

Menyentuh tentang kes jenayah sepanjang pelaksanaan Op Selamat 2017 dan 2018 pula, bagi tempoh 18 Jun-2 Julai 2017 sebanyak 202 kes jenayah dilaporkan. Manakala, bagi tempoh 8 Jun hingga 22 Jun 2018 pula sebanyak 235 kes jenayah dilaporkan.

Kes pecah rumah pada malam dan siang hari dalam tempoh sama pada 2017 adalah sebanyak 80 kes dan pada 2018 pula sebanyak 100 kes.

Melihat peningkatan kes kemalangan dan jenayah yang berlaku dalam dua Op Selamat sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Pencegahan & Keselamatan Komuniti bagi memastikan kadar kemalangan dapat diturunkan, keadaan lalu-lintas berjalan lancar dan kadar jenayah terutama pecah rumah dapat dikurangkan ke tahap paling minimum.

Sepanjang Op Selamat kali ini, sebanyak 11 kawasan kerap berlaku kemalangan (black spot) melibatkan jarak 333.6km.

“Pihak polis menetapkan kehadiran polis secara ‘Omnipresence’ melalui konsep ronda dan statik di lokasi-lokasi black spot.

Omar berkata, pendekatan ronda dan statik itu akan memberi impak positif kepada Kempen Keselamatan Jalan Raya ini. Langkah itu juga dilihat akan memantapkan keberkesanan polis melalui kehadiran polis trafik secara lebih intensif di lokasi yang telah dikenalpasti.

Rondaan ke kawasan taman perumahan pada waktu malam juga akan dipertingkatkan dengan menghantar pasukan pasukan peronda (MPV).

Menurutnya, sebanyak 800 orang anggota PDRM bertugas semasa musim pelaksanaan Op Selamat ini.

Beliau juga menasihatkan pengguna supaya memaklumkan jiran-jiran jika ingin pulang bercuti ke kampung halaman masing-masing.