Syarikat Telco Perlu Tingkat Kualiti Rangkaian Di Pedalaman, Pulau Pelancongan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggesa syarikat telco seperti Celcom Axiata Berhad (Celcom) untuk meningkatkan kualiti rangkaian ditawarkan di kawasan pedalaman untuk membantu peningkatan ekonomi masyarakat dan pendidikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beberapa kawasan di negeri ini memerlukan rangkaian telefon dan internet yang lebih baik bagi membantu pemasaran produk-produk tempatan melalui pemasaran dalam talian.

“Di antara produk kita kenal kopi Tenom, kita tahu sayur manis Lahad Datu tapi tidak ramai tahu buah pamelo yang terbaik di Malaysia ditanam di Tenom kalau ada rangkian talian yang baik kita promosi, bayangkan bukan sahaja kepada usahawan tetapi limpahan daripada segi masyarakat yang terbabit seperti pengangkutan dan pembungkusan banyak sebenarnya manfaat jadi dengan adanya usaha ini kita dapat tingkatkan.

“Saya sedar dan tahu dulu kita beli banyak beli komputer tapi tidak dapat dimanfaatkan sebab apa bukan hanya rangkaian talian tidak ada, jangan cakap pasal kabel masa itu menara pun tidak ada, jadi kita belanjakan banyak duit untuk beli komputer anak-anak sekolah luar bandar tidak dapat manfaatkannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Celcom Memacu Masyarakat Digital Sabah hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi dan Pengerusi Celcom Timur Sdn. Bhd., Ahmad Rizal Dahli.

Mohd. Shafie berkata, peranan syarikat telco untuk meningkatkan kualiti rangkaian juga penting dalam soal keselamatan negara terutama di pulau-pulau di Sabah yang menjadi tumpuan pelancong.

Katanya, dengan adanya kadar keterhubungan yang baik terutama membabitkan pelancong, lokasi pelancong sentiasa dapat dipantau dan tindakan segera boleh diambil jika ada perkara tidak diingini berlaku demi menjaga keselamatan mereka.

“Bukan hanya perniagaan yang dapat dibantu, untuk mengurangkan bukan hanya kadar jenayah kematian masyarakat dan mungkin mengaja keselamatan negara kita khususnya di peringkat negeri Sabah yang perlukan perlindungan, pelancong-pelancong, di sini kita ada pelancong lebih daripada empat juta yang perlu kita jaga bukan hanya kekerapan mereka datang tetapi keselamatan mereka perlu dijaga dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Idham dalam reaksinya berkata, Celcom bersedia menyahut saranan Ketua Menteri untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya terutama di kawasan pelancongan di Sabah demi kebaikan setiap penggunanya.

“Bagi pandangan kami, Celcom bukan hanya menumpukan keuntungan jangka pendek, kita berpandangan jauh sekarang liputan kami adalah yang terbesar di Sabah daripada segi 4G LTE kami sudah 80 peratus walaupun geografi Sabah luas dan sudah tentu tempat-tempat peranginan itu semua kita perbaiki kalau belum cukup baik pasti ada liputan seperti yang datuk seri cakap tadi kami akan terus lihat selepas ini.

“Insya Allah mana tempat-tempat yang selalu dikunjungi ramai kami akan perkuatkan liputan kami yang penting juga bukan sahaja talian tetapi daripada segi kelajuan dan juga aplikasi bukan sahaja untuk pengguna, rumah tetapi perniagaan,” katanya.