Syarikat Swasta Disaran Salur Bantuan kepada Petugas Barisan Hadapan

Pengarah HQE, Dr William Gotulis (tengah) menerima sumbangan PPE dan topeng muka dari syarikat Wizi Superior Glove yang disampaikan Alex (tepi kiri) . Penyampaian disaksikan Madius (dua kiri) dan Wong Thien Fook (dua kanan).

KOTA KINABALU: Pengusaha syarikat swasta diseru untuk tampil bersama-sama dalam menyalurkan bantuan kelengkapan petugas barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, buat masa ini Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) serta  penutup hidung dan mulut masih kekurangan dan diperlukan oleh petugas kesihatan di hospital.

“Untuk makluman, penutup hidup dan mulut serta alat perlindungan lain hanya boleh digunakan sekali untuk setiap operasi.

“Sekiranya terdapat tujuh operasi dalam satu hari, maka setiap petugas yang terlibat menggunakan tujuh set PPE dan topeng penutup hidung dan mulut.

“Sehubungan itu, bekalan untuk kelengkapan perlindungan ini perlu sentiasa ada bagi mengelakkan barisan hadapan khususnya petugas kesihatan dijangkiti Covid-19,” katanya ketika menyaksikan penyampaian bantuan penutup hidung dan mulut serta PPE dari Syarikat Wizi Superior Glove (Malaysia) Sdn Bhd kepada Hospital Tuaran, Hospital Queen Elizabeth (HQE) serta Hospital Wanita dan Kanak-kanak (HWKK), di sini semalam.

Bantuan disampaikan oleh wakil  syarikat tersebut, Alex Voo.

Madius (dua kiri) menyaksikan penyampaian bantuan PPE serta penutup hidung dan mulut kepada Pengarah Hospital Tuaran, Dr. G. Mohan Gopal Naidoo (tengah). Turut kelihatan Alex (tepi kiri) dan Wong Thien Fook (dua kanan).

Madius berkata, usaha yang dilakukan oleh syarikat Wizi Superior Glove wajar dicontohi oleh syarikat-syarikat lain.

Katanya, walaupun syarikat yang berpangkalan di negara Kanada ini baru sahaja melabur di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP),  tetapi mereka telah tampil untuk memberi bantuan.

“Syarikat ini yang merupakan perusahaan sarung tangan bagi tujuan perindustrian dan dikendalikan oleh seorang warganegara China, telah berinisiatif mendapatkan bekalan PPE dan sebagainya dari negara China dan menghantar ke negeri ini menggunakan kapal laut.

“Mungkin bantuan ini kelihatannya tidak seberapa tapi ia cukup membantu bagi petugas kesihatan pada masa kini yang sentiasa memerlukan kelengkapan perlindungan untuk menjalankan tugas,” katanya yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Sebanyak 250 PPE dan 500 penutup hidung dan mulut telah disumbangkan Syarikat Wizi Superior Glove untuk kegunaan tiga hospital berkenaan.

Turut hadir adalah Ahli Lembaga Pengarah KKIP Sdn Bhd, Datuk Wong Thien Fook.