Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelaburan berkenaan membabitkan pembinaan beberapa hotel di pulau berkenaan bagi menarik lebih ramai pelancong Jepun dan negara lain ke negeri ini yang terkenal dengan kepelbagaian habitat marin dan pesisir pantai yang indah.
Katanya, kerajaan negeri akan mempertimbangkan secara serius hasrat syarikat-syarikat berkenaan terutama dalam soal perundangan memandangkan Pulau Sulug dikategori sebagai Taman Laut Tunku Abdul Rahman bagi menjaga keistimewaan dan keindahannya.
“Daripada segi kewangan mereka tidak bermasalah kerana pendapatan tahunan syarikat terlibat ada 400 bilion Yen (RM15 bilion) jadi kita akan pastikan bagaimana perkara itu dapat dijadikan realiti,” katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan tersebut di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hashim Paijan.
Antara syarikat yang terlibat ialah Adguild Japan Ltd., Newspace.com, Kinki Nippon Tourist Kanto Co Ltd., Ferris Company Ltd., Shine Artist Invesment Inc., 10 Fields Factory, Cross Core Ltd., The Nihon Kogyo Shimbun Co Ltd. dan Cooo Japan.
“Mereka tahu Sabah dekat dengan Jepun dan ramai orang Jepun datang ke sini jadi sebab itulah mereka mahu membangunkan hartanah di Pulau Sulug,” katanya.
Sementara itu, wakil syarikat-syarikat berkenaan, Nikko Doh berkata, Sabah mempunyai pantai dan hidupan antara yang terbaik di dunia dan atas sebab itulah mereka sangat berminat untuk melabur di negeri ini.
“Kami amat berharap kerjasama ini berjaya, kami bercadang membina sistem solar berteknologi tinggi dari Jepun di Sabah.
“Sabah mempunyai pantai dan laut antara tercantik di dunia, orang Jepun suka menyelam skuba maka lebih ramai akan datang sini,” jelas beliau.