Syarikat Didakwa Ceroboh Tanah Rizab, ‘Kebal’ Daripada Tindakan

230
Gambar hiasan.

TUARAN: Sebuah syarikat swasta didakwa beroperasi secara haram di kawasan tanah rizab membabitkan enam buah kampung di daerah ini sejak dua tahun lepas.

Ketua Kampung Bukit Giling, Siani Lipat, 58, berkata, selain kampungnya, lima buah kampung terlibat ialah Kauluan, Tambulaong, Tambalugu, Bakut serta Dansangai.

Katanya, syarikat berkenaan yang telah beroperasi sejak dua tahun lalu bertindak menoreh beberapa bukit di situ untuk mengambil tanah di kawasan seluas 60 hektar sehingga menyumbang kepada hakisan tanah dan merosakkan kawasan tadahan air graviti penduduk.

“Pencerobohan tanah rizab itu berlaku sudah hampir dua tahun dan sehingga kini perbuatan tidak bertanggungjawab itu masih berlanjutan, menyebabkan saiz kawasan diceroboh semakin luas.

“Usaha penduduk Bukit Giling dan Kauluan menghalang percerobohan itu tidak berhasil, apabila pihak yang melakukan perbuatan itu masih meneruskan kegiatan,” katanya seperti dilaporkan hari ini.

Katanya, penduduk kampung berharap campur tangan wakil rakyat di situ iaitu Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai memandangkan kampung-kampung berkenaan di dalam kawasan mereka.

Siani berkata, masalah berkenaan telah diadukan kepada Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Alam Sekitar serta Pejabat Daerah Tuaran tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil.

Beliau berkata, agensi kerajaan berkenaan gagal menghalang pencerobohan tanah rizab itu, menyebabkan pihak swasta itu kelihatan ‘kebal’ dan meneruskan aktiviti mereka.

“Ini turut menimbulkan tanda tanya kepada penduduk, bagaimana kegiatan berkenaan tidak boleh dihentikan sedangkan kesan kerosakan ke atas tanah rizab itu jelas kelihatan.

“Saya berharap ada tindakan segera diambil kerajaan bagi menghentikan pencerobohan itu dalam menyelamatkan tanah rizab dan alam sekitar daripada musnah,” katanya.