Syarat Lengkap Divaksin Masuk Restoran, Pasar Raya Mula 21 Sept

KOTA KINABALU: Sabah akan menguatkuasakan syarat lengkap divaksin kepada pekerja dan pelanggan bagi memasuki restoran dan pasar raya bermua 21 Sept ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sejajar dengan itu, semua pekerja dan pelanggan bagi semua sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya hendaklah lengkap divaksin.

Beliau berkata, pelaksanaan syarat lengkap divaksin itu dianjakkan daripada 15 Sept ke 21 Sept selepas mengambil kira situasi vaksinasi pada masa ini.

Katanya, ketika ini, hanya 52 peratus populasi penduduk dewasa di Sabah sudah divaskin. Oleh itu, tarikh syarat ini berkuatkuasa dianjakkan kepada 21 Sept, iaitu apabila 60 peratus penduduk dewasa Sabah divaksin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, disebabkan berlaku kelewatan pemberian dos kedua kepada pekerja sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya, khususnya vaksin Astra-Zeneca maka, pengecualian sementara boleh dipohon oleh majikan masing-masing.

Menurutnya, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan menyenaraikan nama kakitangan yang terlibat berserta tarikh pengambilan dos pertama dan jadual tarikh pengambilan dos kedua.

Hari ini, buat pertama kali Sabah mencatatkan kes dibawah paras 2,000 iaitu 1,717 kes. Daerah yang mencatatkan kes tertinggi pula Sandakan dengan 255 kes, diikuti Kota Kinabalu 192 kes, Tuaran 148 kes dan Papar 103 kes.

Daripada 1,717 kes hari ini, 658 kes atau 38.3 peratus adalah kes lewat daftar antara dua hingga tiga hari, 49 kes lewat daftar antara empat hingga lima hari dan 67 kes lagi lewat didaftar melebihi lima hari selepas keputusan saringan diketahui.

Saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang kepada kes positif Covid-19 dengan 977 kes, diikuti dengan 464 kes saringan bergejala, 67 kes dikesan daripada saringan kluster, dua kes melalui saringan bersasar dan 207 kes melalui saringan lain-lain.

Sehingga semalam, 51.8 peratus penduduk dewasa Sabah telah pun melengkapkan pengambilan vaksin dan 67.4 peratus lagi telah memperolehi satu dos.

Setakat ini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Sabah adalah 173,863 kes.