Suspek Kes Tikam Di Penampang Ditahan Di Limbang

PENAMPANG : Suspek utama yang disyaki menikam seorang lelaki sehingga maut di luar sebuah pusat hiburan di Penampang Baru, di sini, pada 4 Januari lalu, berjaya ditahan di sebuah hotel di Limbang, Sarawak, malam tadi.

Lelaki berusia 34 tahun itu yang menjadi buruan polis sejak 10 hari lalu, ditahan sepasukan polis Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang , kira-kira 11 malam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi menahan suspek turut dibantu sepasukan pegawai dan anggota dari IPD Limbang.

Suspek ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes yang sedang disiasat kerana membunuh.

“Suspek telah dibawa balik ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook Polis Daerah Penampang.

Dalam kejadian jam 3 pagi, 4 Januari lalu, suspek dipercayai menikam seorang lelaki di belakang bangunan sebuah pusat hiburan, di Penampang Baru, di sini.

Mangsa yang berusia 29 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk ketika dirawat di zon kecemasan Hospital Queen Elizabeth 1.