Suspek Ke-13 Ditahan Reman Berkaitan Rasuah Libatkan Anggota Polis

1052
Anggota polis berpangkat koperal yang ditahan reman di Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seorang anggota polis berpangkat koperal yang disyaki terlibat dengan rasuah ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat.

Suspek berusia 44 tahun ini adalah suspek ke-13 yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membantu siasatan kes rasuah yang membabitkan anggota polis yang pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Kota Belud.

Suspek diperintah ditahan reman sehingga 17 Oktober ini dihadapan Majistret Stephanie Sharon Abbie di Kamar Hakim.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Faliq Basiruddin memaklumkan suspek ditangkap di Ibu Pejabat Polis Kota Belud pada jam 7.45 malam, Khamis.

Suspek ini juga disyaki menerima rasuah melalui pembayaran harian, mingguan dan bulanan secara tunai dan transaksi bank bagi melindungi orang awam yang menagih dan
memiliki dadah.

Suspek ke-13 ini juga berdepan pertuduhan dibawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana memberi sogokan kepada penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Menurut Faliq, siasatan mengenai jumlah transaksi wang yang terlibat dalam kes itu masih berjalan. Pihak SPRM juga masih menyiasat sekiranya ada lagi anggota polis yang terlibat.

Siasatan masih berjalan jadi pihak SPRM tidak pasti berapa ramai suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.