Suspek Bunuh Gajah Borneo Mengaku Tidak Bersalah

45

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Dua lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia mengaku tidak bersalah atas kesalahan memiliki atau bersuhabat memiliki gading gajah Borneo di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Paranchoi Nordin, 59; Abdullah Simin, 68, dan Martin Alok, 44, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 12.20 tengah malam, 12.30 tengah malam dan 12.30 tengah hari di Felda Umas 4 dan Kampung Felda Umas, Kalabakan, 2 Oktober lalu.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa dengan niat memiliki atau bersubahat memiliki dua potong gading gajah Borneo, haiwan yang dilindungi sepenuhnya seperti yang disenaraikan dalam Bahagian 1, Jadual 1, Nombor 11 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 tanpa kebenaran bertulis daripada menteri yang bertindak atas arahan pengarah.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 41(1)(a) enakmen yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih dari RM250,000 dan penjara antara satu hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada ikat jamin dikenakan memandangkan ketiga-tiga tertuduh sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan memiliki senjata api dan Imigresen pada 22 Oktober lalu di mahkamah yang sama.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud mengarahkan tertuduh ketiga, Martin ditahan semula sejurus selesai menjalani hukuman penjara pada 27 November ini.

“Bagi tertuduh pertama dan kedua, mereka akan terus menjalani hukuman penjara selama dua tahun seperti yang ditetapkan mahkamah sebelum ini,” katanya.

Pegawai JHL membawa gading gajah yang dipotong tertuduh.

Semua tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifuddin Abdul Rasa dibantu oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar, Abdul Karim Dakoq.

Awang Kerisnada kemudiannya menetapkan 16 Disember depan sebagai tarikh pengurusan kes berkenaan.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, mereka antara enam suspek berumur antara 44 hingga 68 tahun yang ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam pembunuhan kejam seekor gajah Borneo di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, pada  September lalu.

Bangkai gajah betina itu ditemukan sekumpulan pemancing di dalam air dalam keadaan terikat dipercayai bagi mengelakkannya hanyut, pada 26 September lalu.