Suntikan Vaksin Imunisasi Mungkin Akan Diwajibkan Di Sabah

718
Stephen meletakkan tapak tangan sebagai simbolik pelancaran Damai Wellness Centre, di sini pada Khamis

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mungkin akan mengambil langkah yang sama seperti Kerajaan Persekutuan untuk mewajibkan suntikan vaksin imunisasi ke atas semua kanak-kanak yang berada di Sabah.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong berkata, pihaknya akan melihat terlebih dahulu bagaimana pelaksanaan program mewajibkan suntikan vaksin imunisasi itu dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

”Selepas itu barulah kita akan membuat keputusan untuk melaksanakan program yang sama di Sabah.

”Bagaimanapun kita juga kena mengambil kira keupayaan kewangan negeri.

”Namun, kita berharap suntikan vaksin imunisasi ini dapat diberikan kepada semua bayi yang lahir di Sabah supaya dapat mencegah jangkitan penyakit, ” katanya ketika ditanya adakah Sabah akan mengikut jejak langkah Kementerian Kesihatan yang sedang mewujudkan dasar mewajibkan suntikan vaksin imunisasi kepada semua kanak-kanak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Damai Wellness Centre, di sini pada Khamis.

Ditanya tentang statistik kanak-kanak yang tidak disuntik dengan vaksin imunisasi di Sabah, Stephen berkata, setakat ini tiada statistik direkodkan berkaitan suntikan vaksin.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian itu sedang berbincang di peringkat dalaman dan luaran bagi mewujudkan dasar yang dapat memastikan setiap kanak-kanak mendapat suntikan imunisasi vaksin pada masa akan datang.

Kementerian itu juga akan terus berusaha untuk memberi kesedaran dan menggalakkan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin imunisasi sebagai langkah awal pencegahan penyakit.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye sebelum ini turut meminta masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan gerakan antivaksin yang dipelopori pihak tertentu.

Tindakan tidak mengambil suntikan vaksin imunisasi hanya akan memberi kesan negatif terhadap kesihatan anak-anak.

Lee berkata, vaksin yang digunakan di negara ini adalah selamat dan terbukti keberkesanannya melalui ujian dan kajian saintifik.

”Walaupun ada sebahagian kecil mengalami kesan yang tidak serius namun, vaksin ini penting untuk mencegah penyakit seperti difteria, demam campak, begok dan rubella,” jelasnya.

Kemudian ditanya tentang langkah mewajibkan warga asing diberi suntikan mencegah penyakit Tibi di Sabah, Stephen berkata, kajian menyeluruh akan dilakukan bagi melaksana program mewajibkan suntikan mencegah penyebaran penyakit Tibi ke atas semua warga asing yang memasuki Sabah secara sah.

”Kita masih mengkaji bagaimana untuk mengadakan program untuk memberikan warga asing suntikan mencegah penyakit Tibi. Kita juga kena melihat keadaan kewangan dan kesesuaian program itu.

”Kita akan cuba memastikan warga asing yang masuk secara sah mendapat suntikan bagi mengelak jangkitan penyakit Tibi.

”Namun, bagi mereka yang memasuki Sabah secara haram, ia agak sukar untuk mengenalpasti kelompok ini.

”Apa-apa pun kerajaan akan melaksana program yang terbaik bagi menangani penyebaran penyakit Tibi dalam kalangan rakyat di negeri ini, ” ujarnya.