Sumpah Atas Nama Allah Kerana Terpaksa, Agar Jadi Calon

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A. Gani Pangiran Amir berkata, sumpah yang dilafazkannya atas nama Allah SWT adalah tidak sah.

Dalam muat naik terbaharu di Facebook, Hassan A. Gani berkata, sumpah itu tidak sah kerana dibuat secara terpaksa.

“Hari ni viral video akujanji dan sumpah saya di media sosial.

“Betul saya bersumpah tapi sumpah ini tidak sah kerana terpaksa. Sekiranya saya tidak bersumpah saya tidak akan dicalonkan.

“Saya sokong GRS kerana rakyat di kawasan Sebatik,” katanya.

Beliau turut memuat naik video rakaman ketika beliau melafazkan ikrar tersebut pada 10 September lalu di laman sosial berkenaan.

Terdahulu hari ini, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengesahkan surat peletakan jawatan Hassan A Gani akan diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah.

Surat tersebut ditandatangan Hassan A. Gani selepas melafazkan ikrar berkenaan sebagai bukti beliau tidak akan lompat parti apabila menjadi calon WARISAN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.