Sumbangan Wanita Tidak Dinilai Berdasar Peratusan, Wirawati Warisan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak meletakkan sebarang peratusan dalam mengambil kira sumbangan wanita dalam kepimpinan parti.

Ketua Wirawati Warisan Isnaraissah Munirah Majilis berkata, kepimpinan bukan bergantung kepada gender, bangsa mahupun agama.

MUNIRAH

“Kepimpinan bergantung kepada individu itu sendiri. Jika seseorang itu bagus bermakna dia memang bagus dan layak menjadi pemimpin tanpa perlu melihat gender mahupun agamanya.

”Kita tidak mahu meletakkan peratusan tertentu seolah-olah kita berikan kuota untuk menilai sumbangan wanita dalam kepimpinan parti. Jika kita memberikan kuota, ia memperlihatkan suara wanita tidak kuat.

”Saya percaya ramai wanita muda yang berbakat dalam memimpin parti dan boleh menyumbang kepada Sabah,” katanya ketika ditanya adakah kepimpinan Wirawati akan memperjuangkan 30 peratus sumbangan wanita dalam parti berkenaan.

Menurutnya, dalam Warisan tidak menilai seseorang berdasarkan gender. Penilaian bakat kepimpinan seseorang itu diambil kira secara sama rata.

Malah, Wirawati juga dilihat sebagai jentera penting yang sangat efektif dalam membantu Warisan.