Sumbangan Terus Diagihkan Di Kalabakan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
KALABAKAN: Aduan kehabisan bekalan makanan, merayu malah ada yang menangis antara situasi yang dialami Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman ketika menerima aduan daripada penduduk setempat sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ma’mun berkata, dia banyak menerima pesanan menerusi SMS, Whatapps dan panggilan telefon yang memohon bantuan terutamanya selepas hilang punca pendapatan.

“Sehingga semalam, lebih 1,500 bantuan disalurkan kepada penduduk membabitkan barangan keperluan dapur dan wang

“Namun begitu, masih ramai lagi penduduk perlu dibantu terutamanya di kawasan pedalaman yang jauh dari pusat bandar Tawau,” katanya kepada media, hari ini.

Tambah Ma’mun, setakat ini, semua bantuan yang disalurkan itu menggunakan dana Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan termasuk wang gajinya sebagai wakil rakyat.

“Saya akur dan faham keperluan rakyat ketika ini yang terjejas ekoran Covid-19 dan PKP.

“Saya cuma berharap dengan bantuan itu, ia dapat meringankan beban rakyat terutamanya mereka yang terjejas teruk sehingga tidak mampu membeli bekalan makanan harian,” katanya.

Beliau berharap agar orang ramai bersabar menanti bantuan termasuk menerusi Kerajaan Negeri dan Pusat yang akan disalurkan secara berperingkat.

“Walaupun terdapat kekangan, kami sedaya upaya memaksimumkan kudrat  untuk meringankan beban semua pihak.

“Semoga bantuan yang dirangka kerajaan berjalan lancar dan diterima rakyat seperti perancangan,” katanya.

Dalam masa sama, Ma’mun menyeru penduduk Parlimen Kalabakan yang berdepan masalah sepanjang PKP, menghubungi segera talian 089-777191 bagi membolehkan bantuan diberikan.