Suka Atau Tidak Malaysia Adalah Tanah Melayu, Kata Pemimpin UMNO

Oleh AZIS KHAN
KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO hari ini menegaskan bahawa Malaysia adalah Tanah Melayu, iaitu sejarah yang harus diterima oleh sesiapa sahaja sama ada suka atau pun tidak.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, setiap rakyat Malaysia tidak kira tua atau muda perlu mempelajari sejarah dan menerima hakikat bahawa negara ini adalah Tanah Melayu.

“Saya ingin menyarankan supaya sejarah dipelajari oleh rakyat kita pada keseluruhannya tidak kira yang dewasa apatah lagi kepada orang-orang muda yang mungkin tidak mengetahui sejarah bangsa dan negara.

“Kita kena terima hakikat bahawa negara ini adalah Tanah Melayu, Tanah Melayu, everybody must accept the fact that this is Tanah Melayu.

“Mungkin ada yang tidak mahu menerima bahawa negara ini Tanah Melayu asalnya, ini perlu suka tidak suka rakyat Malaysia atau pun orang yang datang dari luar berada di negara kita kena terima bahawa ini adalah Tanah Melayu dan Melayu merupakan rakyat dan penduduk asal negara kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Sebagai rekod, Malaysia terbentuk pada September 1963 selepas Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura menandatangani Perjanjian Malaysia.

Justeru, agak janggal untuk menerima hakikat bahawa Malaysia adalah Tanah Melayu semata-mata sedangkan majoriti masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak bukanlah orang Melayu.

Tajuddin berkata, sehubungan itu, hak-hak orang Melayu tidak boleh dipersoalkan sebaliknya perlu dipertahankan oleh setiap pemimpin tidak kira kerajaan atau pembangkang.

Sementara itu katanya, orang bukan Melayu juga mempunyai hak tertentu yang perlu diberikan kerana mereka juga adalah rakyat Malaysia.

“Saya harap pihak kerajaan dan pembangkang menerima hakikat ini dan tidak mengabaikan iaitu bangsa Melayu, orang Melayu merupakan pribumi negara kita ini yang mempunyai haknya, hak dan keistimewaan-keistimewaan tertentu yang mesti dipertahankan oleh kerajaan dan oleh kita semua.

“Bagi mereka yang bukan Melayu mereka juga adalah rakyat negara kita ini kita juga mesti menerima hakikat dan juga menerima hak-hak mereka sebagai rakyat negara kita ini,” katanya.