Sudah Terlalu Banyak Forum Tentang PATI, Sekarang Masa Untuk Bertindak

TERRENCE SIAMBUN

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
PENAMPANG: Cadangan dikemukakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Datuk Dr Jeffry Kitingan supaya diadakan satu forum untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak lagi relevan sebaliknya apa yang diperlukan sekarang ialah tindakan penguatkuasaan tegas.

Bendahari Agung Parti Warisan Sabah (Warisan), Terrence Siambun berkata, sudah terlalu banyak perbincangan atau forum bersama pihak berwajib, malah Suruhanjaya Diraja juga telah dibentuk sebelum ini bagi membincangkan masalah itu tetapi masih tiada tindakan susulan diambil.

Katanya, penglibatan beberapa Ketua Menteri sebelum ini serta debat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga pernah dilakukan sejak tahun 1980-an tetapi kerajaan terdahulu tidak pernah walaupun sekali mengambil langkah konkrit untuk menyelesaikannya.

“Oleh sebab itu, tiada guna lagi mengadakan forum untuk bercakap tentang masalah itu kerana sekarang masanya untuk bertindak, Sabahan sudah muak dengan ‘No Action Talk Only (NATO)’ semasa era Barisan Nasional (BN).

“Pertindihan yang ditunjukkan oleh Jeffry jelas sekali menunjukkan beliau tidak cekap, tidak efektif dan pemimpin yang lemah kerana seperti tidak mampu mendesak ketuanya di Malaya dalam Perikatan Nasional (PN) tentang isu PATI,” katanya.

Terrence berkata, tidak banyak manfaat kepada rakyat Sabah jika hanya forum yang dijalankan, malah beliau percaya Jeffry cuma menggunakan peluang itu untuk meraih populariti bagi isu yang mudah menarik perhatian rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata, jika Jeffry bertekad mahu mengadakan forum, lebih baik beliau menekankan kepada isu royalti minyak antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Petronas, Sabah Gas, Institut Pengajian Pembangunan dan semua pihak berkepentingan serta bayaran 50 peratus royalti yang diperjuangkan Jeffry selama ini.

“Masalah PATI kini adalah isu utama di Semenanjung melibatkan pelarian Rohingya dan Pasar Borong Selayang sentiasa mendapat tumpuan, Kerajaan Persekutuan akhirnya perlu bertindak kerana rakyat sudah hilang sabar bukannya bertindak disebabkan ikut cakap Jeffry,” katanya.

Menurut Terrence Kerajaan PN tidak akan mempedulikan apa yang dikatakan oleh Jeffry kerana beliau tidak penting berbanding dalam Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini apabila Warisan mempunyai suara yang lantang di dalam Kabinet.

“Waktu itu Warisan mempunyai tiga Ahli Parlimen dilantik menteri dan dua lagi Ahli Parlimen sebagai timbalan menteri, justeru isu-isu Sabah diberikan keutamaan.

“Tetapi apakah maksudnya tentang Jeffry yang hanya dilantik Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya?

“Tetapi sudah tentu Jeffry menyangka dengan melakukan forum, Sabahan akan bersatu dan setuju dengan apa sahaja tindakan PN tetapi jika langkah itu tidak ubah seperti Pas Sementara Sabah (PSS) dan menjadi tidak popular, sudah tentu Jeffry boleh sahaja mengatakan rakyat Sabah telah diberi peluang bersuara tetapi akhirnya keputusan di tangan ketuanya dalam PN,” tegas beliau.

Tambah Terrence, daripada berpolitik untuk meraih kepentingan adalah lebih baik Jeffry membantu kerajaan Sabah merancakkan kembali industri pelancongan negeri.

Jelasnya, selama ini Jeffry telah menyalahkan Malaya dengan masalah kemiskinan di Sabah sejak 1980 dan mungkin telah berubah hati ketika ini dengan bekerja di bawah PN untuk mempromosi dan memantau industri pelancongan negara.

“Setiap Sabahan tahu pelancongan adalah antara peneraju utama ekonomi Sabah tetapi sektor itu telah merudum kerana Covid-19, maka saya berharap Jeffry juga memikirkan untuk mengadakan forum tentang bagaimana mempromosi produk pelancongan Sabah.

“Maka saya berharap Jeffry boleh membantu Sabah menghidupkan semula industri pelancongan bukan terlalu mengutamakan negeri di Semenanjung kerana mematuhi arahan ketuanya,” tambah Terrence.

(Visited 1 times, 1 visits today)