‘Suasana Pagi Raya Tanpa Ibu Ayah Pasti Berbeza’

Norsazzey (kanan) bersama adik-adiknya yang lain merenung gambar kedua ibu bapa mereka yang maut dalam kemalangan pada bulan lepas.

PUTATAN: Tiada lagi rutin bersalaman di pagi raya bersama ibu bapanya pada Aidilfitri tahun ini setelah kedua orang tua Nursazzey Shazmika Mazlan maut dalam kemalangan jalan raya pada bulan lalu.

Remaja berusia 15 tahun ini berkata, dia pasti rindu berbaris bersama empat adiknya untuk bersalaman dan mencium tangan ibu bapanya pada pagi raya.

“Tahun ini juga, ibu ada cakap mahu beli baju raya sama-sama sebab setiap tahun memang kakak dan mummy yang akan beli baju raya untuk adik-adik. Tidak sangka hasrat itu tidak sempat ibu tunaikan,” katanya ketika ditemui di PPR Taman Sri Keramat, kemarin.

Nursazzey atau lebih mesra dipanggil kakak ini berkata, hasrat menemani ibu untuk membeli baju Hari Raya Aidilfitri buat adik-adik pada tahun ini tidak kesampaian apabila ibu pergi buat selamanya.

Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, dia juga sering membantu ibu di dapur untuk membuat biskut serta memasak juadah raya. Ibu memang pandai memasak, semua masakan ibu menjadi kegemarannya.

Mengimbau kembali ketika kemalangan berlaku, Nursazzey berkata, mereka lima beradik bersama ibu mengikut bapanya mengambil van di Keningau sebelum trak penunda bapanya kemalangan di Kilometer 42, Jalan Kimanis-Keningau.

Semasa turun bukit, brek trak mereka naiki tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan mereka semua tercampak keluar daripada trak. Selepas kemalangan itu, dia terus tidak sedarkan diri dan mengalami patah bahu sebelah kiri yang perlu disimen.

Menurut adiknya, Mohd Irfan,10, berkata, sebaik sahaja mengetahui brek kenderaan tidak berfungsi bapanya sempat melaungkan takbir ‘Allahuakbar’ beberapa kali sebelum trak dinaiki terbabas ke bahu jalan.

“Pada masa itu, ibu dan kakak, Nursazilla Shazmira,12, sudah tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di lokasi kemalangan tersebut. Hanya bapanya masih bernafas. Namun, apabila tiba di hospital bapanya sudah tidak bernyawa.

“Saya sempat menahan kenderaan yang lalu lalang untuk meminta bantuan.Walaupun ketika itu keadaan gelap kerana sudah lebih 12 tengah malam, saya memberanikan diri mendapatkan bantuan kerana kakak sudah tidak sedarkan diri dan adik-adik pula menangis menahan kesakitan,” ujarnya.

Mengimbas kenangan bersama arwah bapanya, Mohd Irfan berkata, bapanya suka bergurau dan mengusiknya. Detik-detik itu yang akan dirindunya olehnya.

Kini Nursazzey, Mohd Irfan serta dua adik mereka iaitu Nurmia Syazmira,7, dan Nurnafisha Syazmiza,4, dijaga oleh nenek mereka.

Naisah Mis, 60, berkata, kesemua cucu tinggal bersamanya di Kampung Ulu dan sekali sekala mereka akan kembali ke rumah milik arwah anak perempuan dan menantunya itu.

Menurutnya, tiada siapa menyangka beliau akan kehilangan anak dan menantu serta seorang cucu dalam sekelip mata.

“Arwah Nurafidah dan suaminya begitu disenangi oleh ahli keluarga kerana sikap mereka yang sering berjenaka dan suka membantu orang lain. Arwah menantu saya seorang yang cukup disenangi ramai kerana sifatnya yang ringan tulang,” ujarnya.

Pagi raya tahun ini, beliau akan membawa empat cucunya itu menziarahi pusara ibu bapa dan adik mereka yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu.