Suara Rakyat Penampang Diutama Dalam Isu Empangan Papar – Darell

DARELL LEIKING

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen (MP) Penampang Datuk Darell Leiking meminta rakyat Sabah memberi masa kepada kerajaan untuk menjelaskan secara mendalam mengenai kawasan yang akan terlibat dalam pembinaan Empangan Papar.

“Saya belum nampak ‘design’ atau pelan (Empangan Papar) itu jadi berikan masa sebab saya sudah bertanya kepada Ketua Menteri dan beliau telah mengarahkan Datuk Peter Anthony untuk perjelaskan secara mendalam, bukan kepada saya tapi kepada semua rakyat Sabah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan rakyat di Penampang tentang kawasan mereka akan terlibat dalam pembinaan Empangan Papar.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri ini menyatakan beliau sentiasa mengutamakan suara rakyat di Penampang.

Beliau berkata, sebagai MP Penampang, beliau sentiasa menyokong perkara yang baik untuk daerah berkenaan.

“Jika rakyat Penampang tidak mahu daerah Penampang terjejas dan itu yang mereka mahukan, saya setuju dengan itu.

“Kita lihat di Penampang ada dua kumpulan, iaitu mereka yang menentang pembinaan empangan tidak kira dimana ia dibina dan kumpulan yang tidak mahu empangan dibina di kawasan Penampang.

“Sekiranya itu luahan dan apa yang rakyat mahukan, kita kena dengar…kerajaan kena dengar. Pendapat peribadi saya tidak penting kerana apa yang penting adalah kehendak rakyat,” ujarnya.

Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, semasa kempen terakhir mengenai Empangan Kaiduan dahulu, mereka berjaya membuatkan kerajaan ketika itu mendengar bantahan yang dibuat dan bertindak menghentikan pembinaannya.

Ketika itu, kerajaan mahu membina Empangan Kaiduan tapi tidak jadi melaksanakannya kerana mendapat bantahan daripada rakyat.

Pada 8 Julai, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony menyatakan pembinaan Empangan Papar dilakukan sebagai langkah jangka panjang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air dijangka berkurang mulai 2024 di daerah Papar, Kota Kinabalu dan Penampang.

Peter berkata, tiada kaedah lain yang lebih baik dilihat dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air ini.

Empangan Papar dijangka mampu menampung 1,000juta liter sehari (MLD) dan bakal menjana 100 kilovolt-amphere (KVA) bekalan elektrik.

Jurucakap Pasukan Petugas Menentang Empangan Kaiduan & Papar (TAKAD) Diana Sipail menyatakan Pakar Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Felix Tongkul telaha bertemu Ketua Menteri mengenai Empangan Papar yang dilihat bukan langkah penyelesaian terbaik untuk mendapatkan bekalan air dalam tempoh jangka masa panjang.

Difahamkan Dr Felix mencadangkan langkah alternatif untuk menangani masalah kekurangan bekalan air adalah dengan menguruskan kawasan tadahan air dengan sebaiknya, bukan empangan.

“Dalam taklimat Dr Felix dikatakan empangan bersaiz besar dilihat akan menganggu aliran air sungai yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan terhadap sistem hidrologi dan ekologi alam semulajadi. Gangguan ini memberi kesan jangka panjang terhadap aliran air di kawasan huluan dan hiliran sungai,” kata Diana.