Suami Rentung, Isteri Melecur Dalam Kebakaran

PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas maut dan isterinya cedera manakala, empat ahli keluarga lain terselamat dalam kejadian kebakaran di Kampung Gunsing Novunsu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada 3.16 pagi itu, mangsa Godfrey Tozuu Moligan, 90, ditemukan rentung pada bahagian bilik di tingkat bawah rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zainal @ John Radsung berkata, isteri mangsa, Josepha Lojikim, 89, mengalami kecederaan akibat melecur pada bahagian muka dan badan manakala, empat ahli keluarga lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Anak mangsa yang menyedari kejadian itu cuba untuk menyelamatkan bapanya tetapi gagal kerana asap begitu tebal dan keadaan terlalu gelap.

“Namun, keadaan bapanya yang terlalu uzur dan tidak mampu bergerak sendiri menyebabkan mangsa terperangkap dan tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, semasa bomba tiba di lokasi kejadian, api sudah merebak pada sebahagian dari rumah dua tingkat berkenaan. Di dalam rumah itu, terdapat mangsa dan kesemua lima ahli keluarga lain yang kemudiannya diselamatkan.

Isteri mangsa yang mengalami kecederaan akibat melecur segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Empat mangsa yang terselamat ialah Claulis Tozuu, 68, Charlene Peter @ Peteh, 38, Cassella Peter, 33, dan Rojianah Taimpim, 35.

Beliau berkata, bahagian forensik bomba masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran.

Pemadaman api berjaya dikawal daripada merebak pada 4.24 pagi dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 5.56 pagi.