Suami Isteri Ditahan Bersama Syabu 2.02 kg

MAZLI menunjukkan syabu yang berjaya dirampas ketika sidang media di IPK Sabah.

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri dicekup bersama dadah jenis syabu seberat 2.02 kilogram yang bernilai RM80,000 di tepi jalan Putatan-Kota Kinabalu Lok Kawi, Putatan, semalam.

Dalam kejadian pada 4.45 petang itu, lelaki warga tempatan berusia 43 tahun bersama isterinya warga Filipina berusia 34 tahun ditahan ketika kenderaan jenis Toyota Vios yang mereka naiki berhenti di tepi jalan terbabit.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, tangkapan dibuat ketika sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah membuat pemantauan terhadap kenderaan berwarna putih di kawasan itu.

Katanya, ketika pemerhatian dibuat, suspek lelaki dilihat sedang membuka bonet kereta manakala suspek wanita sedang duduk di dalam kenderaan di bahagian penumpang hadapan.

“Pasukan kita kemudian menghampiri kedua-dua suspek dan hasil pemeriksaan awal tidak menemui apa-apa barang salah.

“Namun pemeriksaan lanjut di bahagian bonet kereta menemui plastik berwarna hitam mengandungi dua bungkusan plastik berwarna perak dan selepas dibuka terdapat ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 2,020 gram dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya dalam sidang media, di IPK Sabah, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek ditangkap dan barang rampasan termasuk dadah dan wang tunai RM1,100 dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek adalah pasangan suami isteri dan suspek lelaki dipercayai mendapat bekalan dadah itu dari seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang menetap di Labuan. Usaha untuk mengesan pembekal dadah itu sedang giat dilakukan.

“Menurut siasatan juga, mereka dipercayai aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini,” katanya.

Sehubungan itu, Mazli berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula dari tarikh ditangkap.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan,” katanya.