Suami Isteri Antara Enam Kontraktor Dipenjara, Denda Kerana Palsukan Dokumen

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Mahkamah Khas Rasuah menjatuhkan hukuman penjara antara sebulan hingga tiga bulan serta denda ke atas enam kontraktor yang mengaku bersalah memalsukan dokumen bagi mendapatkan tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak ke asrama sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman penjara dan denda itu masing-masing ke atas Dayang Alfizah Abdul Latif bersama suaminya Amran Makladin, Erni Shamsuddin, Samsun Kalimuddin, Muhammad Safwan Abdullah, Abdul Sal @ Abdul Rasan Palimbang dan Sitti Aida Hamad Ali atas setiap tiga pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka.

Kesemua mereka didakwa secara berasingan di Mahkamah Khas Rasuah,  di sini hari ini.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara sebulan bermula hari ini serta denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan (keseluruhan RM6,000) ke atas Dayang Alfizah, 36. Manakala suaminya yang merupakan penjawat awam, Amran, 37, diikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan, dengan jumlah keseluruhan denda RM15,000.

Sementara itu, Erni, 38, dan Sitti Aida, 48, masing-masing dijatuhkan hukuman penjara dua bulan serta denda RM5,000 untuk setiap satu pertuduhan, dengan jumlah keseluruhan denda RM15,000 manakala jika gagal bayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama dua bulan.

Hakim turut menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Samsun,41. Denda keseluruhan berjumlah RM15,000 dan jika gagal membayar denda boleh dipenjarakan selama tiga bulan.

Manakala,  Muhammad Safwan, 29, dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan serta denda RM3,000 bagi setiap satu pertuduhan, dengan jumlah keseluruhan RM9,000. Jika gagal bayar denda boleh dipenjara selama tiga bulan

Tertuduh, Abdul Sal @ Abdul Rasan, 65, pula dihukum penjara sebulan dan denda RM5,000 setiap satu pertuduhan, dengan jumlah denda keseluruhan RM15,000.

Kesemua tertuduh didakwa memalsukan dokumen iaitu penyata bank syarikat milik masing-masing untuk melayakkan mereka mendapat tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak ke asrama sekolah daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bagi tempoh tender bermula 1 Mac 2017 sehingga 28 Februari 2019.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan pemalsuan penyata bank itu pada 24 November 2016 di JPNS.

Permohonan tender yang terlibat membabitkan asrama Kolej Vokasional Tawau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tungku, Lahad Datu; SMK Bum Bum, Semporna;  SMK Terusan Sugud, Beluran; SMK Merotai Besar, Tawau dan SMK Balung,  Tawau.

Nilai tender yang terlibat berjumlah antara RM2 juta hingga RM3.6 juta.

Atas kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta mahkamah mengurangkan hukuman denda atas sebab-sebab peribadi termasuk menyusukan bayi yang masih kecil, perlu menanggung persekolahan anak-anak serta perlu menanggung ibu bapa yang sakit.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Clementine Severinus memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh bagi menunjukkan keadilan kerana kes ini berlaku di JPNS yang melibatkan kepentingan awam.

Katanya, hukuman setimpal dapat memberi mesej jelas kepada orang awam supaya tidak melakukan kesalahan sama pada masa hadapan.