SU Politik Perlu Jadi Penghubung Dekatkan Menteri Dengan Rakyat

5197
Ketua Menteri berkata setiausaha politik yang dilantik harus menggalas tanggungjawab sebagai orang perantara yang berhubung secara langsung dengan rakyat.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Setiausaha-setiausaha Politik disaran supaya menjadi jambatan penghubung antara menteri dan rakyat dalam memastikan keperluan rakyat diperingkat akar umbi dapat dipenuhi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata setiausaha politik yang dilantik harus menggalas tanggungjawab sebagai orang perantara yang berhubung secara langsung dengan rakyat.

“Kita sedar bukan semua rakyat dapat turun ke Kota Kinabalu untuk berjumpa menteri dan memaklumkan masalah mereka.

“Atas sebab itu, setiausaha-setiausaha yang dilantik ini harus menjadi jambatan kepada menteri dan kerajaan.

Joanna SH Rampas, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan.

“Setiausaha-setiausaha ini perlu berhubung dengan rakyat bagi memastikan rakyat bertambah yakin dengan perkhidmatan yang diberikan kerajaan,” katanya semasa Majlis Angkat Sumpah Setiausaha-setiausaha Politik, di sini pada Rabu.

Shafie berkata, menteri mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dengan tugas hakiki yang harus dilakukan setiap hari maka, setiausaha politik yang akan berhubung dengan rakyat.

Setiausaha politik juga harus berkhidmat kepada rakyat secara keseluruhan bukan berkhidmat untuk parti tertentu sahaja.

“Harus diingat menjelang pilihan raya umum kita memerlukan sokongan semua rakyat, bukan sokongan parti kita sahaja. Rakyat yang akan menentukan siapa kerajaan dan wakil rakyat yang mereka mahukan,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan juga dibentuk hasil kerjasama pelbagai parti tanpa kerjasama itu, kerajaan tidak akan mampu dibentuk. Maka, berkhidmatlah untuk semua rakyat.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan setiausaha politik agar tidak memandang rendah kepada kuasa rakyat kerana rakyat sentiasa melihat apa yang dilakukan kerajaan selama tempoh lima tahun ini.

Rakyat akan menilai sebaik mana gerak kerja yang dilakukan sepanjang tempoh ini. Jika apa yang dilakukan tidak baik maka, apabila tiba pilihan raya disana mereka akan buat keputusan.

Shafie juga mengingatkan setiausaha-setiausaha yang baharu mengangkat sumpah itu supaya menjaga imej dengan baik kerana mereka adalah cerminan kepada menteri yang diwakili.

Dengan itu, beliau mengingatkan setiausaha politik yang ada supaya menjauhkan diri daripada rasuah kerana ia akan mencemarkan imej menteri dan juga kerajaan.

Shafie berkata, setiausaha politik adalah tempat melatih seseorang individu untuk menjadi wakil rakyat. Jika perkhidmatan mereka sepanjang menjadi setiausaha politik amat baik, mereka boleh dijadikan sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Seramai 19 orang setiausaha politik yang mengangkat sumpah dalam majlis berkenaan.