Su Pin Perlu Upah Peguam Berdepan Saman Bukannya Tuduh Orang Lain

MARTIN TOMMY

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Pin digesa berhenti menuding jari ke arah pemimpin lain, sebaliknya mempersiapkan partinya untuk berdepan saman pelucutan harta yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam kanan, Martin Tommy berkata, Su Pin seelok-eloknya mendapatkan khidmat nasihat daripada peguam profesional bukannya cuba mengalih isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melanda parti tersebut dengan menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong terlibat.

Martin yang juga Setiausaha Politik Vui Keong berkata, saman yang dikemukakan SPRM itu bukan ke atas individu sebaliknya atas nama LDP, maka Su Pin yang sepatutnya bertanggungjawab.

“Tujuan saman tersebut adalah untuk membolehkan pihak berkuasa memperoleh semula dana yang mempunyai kaitan dengan 1MDB di mana wang telah dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dalam kes LDP, saya ingin menasihatkan Su Pin untuk mendapatkan nasihat guaman yang profesional dan bukannya mengalih perhatian orang awam daripada isu sebenar dengan menunding jari terhadap Datuk Liew Vui Keong.

“Tambahan pula, beliau akan memberi kerjasama serta sedia memberi keterangan dalam Mahkamah untuk mendedahkan kebenaran,” katanya.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyaman 41 individu dan entiti bagi melucutkan hak ke atas pelbagai harta dan wang yang dipercayai berkaitan dengan 1MDB.

Selepas saman tersebut difailkan, Su Pin mendakwa Vui Keong turut bertanggungjawab, namun hakikatnya ketika isu penyelewengan 1MDB tercetus beliau bukan lagi Presiden LDP.

Menurut Tommy, saman tersebut bersifat sivil bukannya pendakwaan jenayah kepada individu tertentu.

“Saman permohonan pelucutan harta yang difailkan oleh SPRM adalah di bawah seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang bersifat sivil semata-mata di mana tiada pendakwaan jenayah dihadapkan kepada responden termasuk LDP.

“Dalam kes di mana saman difailkan terhadap sebuah parti politik, responden adalah parti politik yang menerima dana untuk kegunaan parti tersebut dan bukannya individu yang merupakan president parti politik untuk tempoh tersebut,” katanya.