Straits Inter Logistics Dapat Kontrak Enam Tahun Kerja Pengurusan Terminal Labuan Liberty

KUALA LUMPUR: Straits Inter Logistics Bhd telah mendapat kerja-kerja pengurusan operasi dan kemudahan Terminal Labuan Liberty di Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh enam tahun.

Syarikat itu menerima surat tawaran (LOA) daripada Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) untuk perkhidmatan pengurusan pelabuhan mulai tersebut mulai 1 April, 2020.

“Perjanjian akan dimuktamadkan dengan LPA selepas penerimaan LOA tersebut. Penerimaan LOA itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terminal Labuan Liberty terletak di sebuah pulau di Malaysia Timur.

Dermaga Terminal Labuan Liberty berkeluasan 355.6 meter dengan kedalaman antara 4.6 meter dan 10 meter, ia boleh menampung kapasiti berat muatan (DWT) sebanyak 16,000 DWT.

Pengendali terminal adalah Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) sejak tahun 1998.

Terdapat isu sebelum perkhidmatan terminal ini diberikan kepada syarikat disenarai bursa saham itu, yang mana satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat oleh pengurus besar LLPM Ghani Paijan pada 17 Disember tahun lepas yang memohon suruhanjaya itu menyiasat unsur konspirasi dalam keputusan tender terminal berkenaan.

Sehingga kini, belum ada tanda siasatan dibuat oleh SPRM meskipun pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan Chan Foong Hin, yang juga merupakan Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh SPRM.