Stesen Tenaga Solar Bario Bekalkan Elektrik Kepada Lebih 200 Isi Rumah

Gambar hiasan sahaja.
Gambar hiasan sahaja.

BARIO – Dua ratus isi rumah di sembilan kampung pedalaman di Bario mendapat kemudahan bekalan elektrik lebih murah melalui Bario Central Solar Hybrid Power Station yang dilancarkan di sini semalam (Selasa).

Sarawak Energy, syarikat yang dilantik untuk mengendalikan operasi sistem tenaga itu dalam kenyataan media berkata dua lagi kampung dijangka akan diliputi sistem bekalan itu menjadikan lebih 300 isi rumah akan mendapat manfaat.

Bekalan tenaga itu akan diperluas meliputi lebih banyak kemudahan kerajaan seperti klinik, pejabat Imigresen, lapangan terbang, pejabat daerah kecil dan dua sekolah rendah.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy, Datuk Torstein Dale Sjotveit berkata pembinaan sistem bekalan tenaga di Bario bermula pada 2010 dan siap tahun lepas sebelum diserahkan kepada Sarawak Energy Jun lalu.