Stephen Wong: Sabah Laksana Larangan Merokok Bermula 1 Feb

2521
Stephen Wong Tien Fatt, tiga dari kiri, menunjukkan poster larangan merokok ketika mengumumkan pelaksanaan larangan tersebut di pejabat beliau petang Rabu.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Peraturan larangan merokok di semua restoran terbuka akan dikuatkuasakan di negeri ini bermula 1 Februari depan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Stephen Wong Tien Fatt mengesahkan perkara itu selepas mesyuarat Kabinet negeri pada Rabu.

“Kerajaan negeri Sabah memutuskan pelaksanaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau pindaan 2018 yang melibatkan larangan merokok di tempat makan akan dilaksanakan bermula 1 Februari 2019,” katanya dalam status Facebook beliau.

Sebelum ini, larangan tersebut telah pun berkuatkuasa di Semenanjung, namun Sabah dan Sarawak belum melaksanakannya kerana tertakluk kepada ordinan kerajaan tempatan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jaujan Sambakong seperti dilaporkan Borneo Today sebelum ini berkata, Kabinet Sabah akan membincangkan terlebih dahulu larangan tersebut dalam pelbagai aspek sebelum membuat keputusan sama ada akan melaksanakannya.

Beliau berkata, pandangan daripada peguam besar negeri dan ahli-ahli Kabinet Sabah juga perlu diambil terlebih dahulu serta kesan larangan itu kepada aktiviti perniagaan sebelum sebarang keputusan dibuat.