Stephen Wong Meninggal Dunia

KOTA KINABALU: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth 1 pagi ini akibat serangan jantung.

Mendiang yang berusia 64 tahun menghembuskan nafas terakhir di samping isteri dan anak-anaknya di hospital berkenaan.

Ketua Menteri segera datang ke hospital untuk memberikan sokongan moral kepada keluarga mendiang sebaik sahaja menerima berita sedih itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menerima khabar duka itu telah mengunjungi keluarga mendiang di hospital bagi menyampaikan ucapan takziah dan memberikan sokongan.

Mohd. Shafie dijangka mengadakan sidang akhbar mengenai perkara itu petang ini.

Terdahulu pagi ini, Stephen yang juga Ahli Parlimen Sandakan selama dua penggal sempat beriadah mendaki bukit di Putatan bersama rakan-rakannya.