STB Meterai MOU Bantu Promosi Sabah Di Eropah, Christina

118

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BERLIN: Kemasukan pelancong Eropah di Sabah dijangka akan terus bertambah dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dengan beberapa agensi pelancongan Eropah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, dengan berakhirnya Pameran Pelancongan Antarabangsa Berlin (ITB), STB telah menandatangani MoU bagi tujuan melaksana kempen promosi dan pemasaran secara bersama dengan dua agensi pelancongan Eropah.

”Kerjasama ini menjadikan MoU yang ditandatangani semasa ITB berlangsung kepada tiga, termasuk satu dengan Diethelm Travel Kota Kinabalu Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Christina yang mengetahui delegasi Sabah yang mengambil bahagian dalam pameran pelancongan antarabangsa itu sempat bertemu dengan Pengarah Urusan InterTravel Denmak June Nielsen. Agensi itu sudah beroperasi sejak 1978.

Kerjasama antara STB dan InterTravel itu akan melibatkan kempen promosi dan pemasaran secara bersama yang akan diadakan di Denmark melalui bengkel, iklan di surat khabar yang menyasaran 250,000 pembaca serta pengiklanan di laman Facebook.

Kerjasama itu akan berlangsung bermula April hingga November tahun ini. Ia akan meliputi promosi secara online dalam Tischler media dan external media termasuk halaman khas untuk mempromosikan Sabah dalam Akhbar Tischler Rieise Welten dan Tischler Aktell.

Akhbar berkenaan akan diagihkan kepada pelanggan peribadi dan agensi pelancongan Jerman serta ketika acara promosi dan seminar agensi pelancongan dan pengembaraan yang akan diaddakan pada Januari-Mac 2020.

Malah, akan ada promosi khas Sabah kepada agensi pelancongan terpilih dengan kerjasama Tourism Malaysia.