Statistik 2019 Sabah Negeri Termiskin Di Malaysia Walaupun Kaya Minyak

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan terbukti gagal membangunkan Sabah walaupun mengambil 95 peratus hasil minyak Sabah yang bernilai puluhan bilion ringgit setahun apabila statistik terbaharu menunjukkan Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia.

Lebih mengejutkan, tiga daerah termiskin di Malaysia ialah Tongod di bawah pimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin, daerah Pitas yang dipimpin Datuk Abdul Rahim Bakri serta daerah Kota Marudu pimpinan Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedudukan itu berdasarkan hasil kajian kemiskinan tahun lalu yang mendapati ketiga-tiga daerah itu mencatat kadar kemiskinan tertinggi.

Mustapa berkata, walaupun ada kelompok lain di Semenanjung seperti Orang Asli dengan kadar kemiskinan yang tinggi dengan purata 40 peratus, namun perangkaan bagi ketiga-tiga daerah itu lebih tinggi.

“Kadar kemiskinan di Tongod, Pitas dan Kota Marudu ialah kira-kira 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 di sini, hari ini.

Katanya, Sabah menduduki tempat teratas sebagai negeri paling miskin di negara ini dengan 19.57 peratus, berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional.

“Selepas Sabah, negeri kedua tertinggi kadar kemiskinan ialah Kelantan dan diikuti Sarawak.

“Kadar itu akan digunakan bermula tahun depan sebagai panduan dalam melaksanakan program pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya.

Ketika ditanya sebab Sabah miskin sedangkan kaya dengan hasil minyak, Mustapa berkata, perkara itu dapat diselesaikan menerusi rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, penyelesaian juga perlu dibuat dengan PETRONAS bagi memastikan hasil yang diperolehi dapat diagihkan untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan di Sabah.

“Sabah bersama Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah sememangnya diberikan perhatian dalam usaha merapatkan jurang pembangunan dan pendapatan menerusi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama,” katanya.

Mengenai sama ada kadar kemiskinan itu mungkin lebih tinggi berikutan COVID-19 tahun ini, beliau berkata, kerajaan sudah mengambil langkah beberapa inisiatif bagi mengurangkan kesan wabak kepada rakyat.