SSB Agih 820 Bakul Makanan Kepada Penduduk Tiga Kampung Di Kalabakan

KALABAKAN: Syarikat milik kerajaan Sabah iaitu Sabah Softwoods Berhad (SSB) menagihkan sebanyak 820 bakul makanan kepada golongan memerlukan di tiga buah kampung di sekitar Kalabakan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pengurus Komunikasi Korporat SSB Sahruddin Paidi, dalam satu kenyataan hari ini, berkata bakul makanan tersebut diserahkan kepada penduduk di Kampung Kalabakan, Kampung Brantian serta Kampung Sungai Udin di sini.

“Pengumpulan serta penghantaran bakul makanan ini dilaksanakan secara berfasa sejak Khamis lepas dan memandangkan Kampung Kalabakan memiliki penduduk ramai kami mulai dengan sumbangan 600 bakul di kampung itu,” katanya.

Menurutnya selepas itu pengagihan dilakukan di Kampung Brantian membabitkan 90 bakul makanan dan 130 bakul lagi di Kampung Sungai Udin.

Sahruddin berharap aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu dapat membantu meringankan beban golongan terjejas dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang semakin menular.