
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas (task force) bagi memantau perolehan dan pengagihan bantuan makanan berjumlah RM100 yang diperuntukkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengarah SPRM Sabah Karunanithy A/L Y.Subbiah berkata, pemantauan dan siasatan ke atas isu pengagihan barangan bantuan ini sedang dijalankan.

“Kita dapati terdapat gambar- gambar yang tular di media sosial berkenaan barangan bantuan makanan yang kosnya kurang dari RM100 yang telah diberikan oleh kerajaan negeri di setiap DUN.
“SPRM Sabah telah menerima maklumat berkenaan isu tersebut dan satu pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, SPRM Sabah akan terus berkerjasama dengan kerajaan negeri dalam memastikan bantuan tersebut dapat disalurkan kepada orang ramai tanpa berlakunya sebarang ketirisan.
Sebelum ini, pihak pembangkang membuat laporan polis mendakwa bantuan RM100 yang diagihkan di setiap DUN tidak sampai kepada penerima.