SPRM Tahan Penolong Pegawai Jabatan Kerajaan Terbabit Rasuah

KOTA KINABALU: Seorang penolong pegawai jabatan kerajaan ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan bagi melantik syarikat milik saudaranya untuk menyedia khidmat bekalan makanan bernilai RM43,000.

Suspek yang merupakan lelaki berusia 40-an ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah semasa hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 10 pagi tadi.

Menurut sumber, suspek yang bertugas sebagai penolong pegawai di sebuah jabatan di Sabah itu telah menyalahgunakan kedudukannya dengan melantik syarikat milik saudaranya dalam perkhidmatan pembekalan makanan bagi program di jabatannya sekitar Mac hingga Oktober 2019.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu dalam tempoh terdekat.