SPRM Tahan Bekas Pembantu Kanan Mohamaddin Ketapi

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Bekas Pembantu Kanan kepada Bekas Menteri Pelancongan, Mohamaddin Ketapi di tahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini, sumber mereka berkata, pihak berkuasa mencari seorang individu berusia 29 tahun itu sejak 10 Jun lalu.

Difahamkan, suspek itu disiasat berhubung kes rasuah membabitkan RM3.7 juta yang dibayar sebuah syarikat untuk mendapatkan projek kementerian berkenaan.

Individu itu menyerah diri di Ibu Pejabat SPRM semalam sebelum ditahan.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

FMT dalam laporannya turut mendapat pengesahan daripada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya berhubung penahanan suspek.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.