SPRM Rakam Percakapan Lima Lagi Saksi Penyelewengan Projek RM3.3B

Pejabat Jabatan Air Kota Kinabalu di Taman Gaya, Jalan Penampang.
Pejabat Jabatan Air Kota Kinabalu di Taman Gaya, Jalan Penampang.

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari Ahad selesai merakam lima lagi percakapan saksi berhubung dakwaan penyelewengan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah.

macc-logo

Sumber yang rapat dengan pasukan siasatan SPRM berkata dengan itu jumlah individu yang dirakam percakapannya berhubung ‘Ops Water’ setakat hari ini berjumlah 28 orang.

“Mereka yang dirakam percakapan hari ini merupakan pemilik beberapa syarikat yang dipercayai terlibat secara langsung dalam projek pembinaan infrastruktur Jabatan Air Negeri Sabah,” kata sumber berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut tetapi enggan mengulas lanjut berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Pada 4 Okt lalu, SPRM menahan pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di sini serta merampas RM114.5 juta daripada mereka, yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur itu.

Ia juga adalah kes terbesar dalam sejarah SPRM.