SPRM, PDRM dan Bank Negara Perlu Siasat Pendedahan Baharu DoJ

JUFAZLI SHI AHMAD

Oleh JUFAZLI SHI AHMAD
KOMEN: Penemuan bahan bukti baharu yang didedahkan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berkaitan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) cukup mencemar nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Ia adalah satu saman sivil kali ketiga di peringkat antarabangsa yang masih mengaitkan Malaysian Official 1 sebagai antara pemimpin utama kerajaan Malaysia yang bersekongkol menggunakan wang curi daripada dana 1MDB bersama Jho Low, isteri Malaysian Official 1 sendiri, anak tiri Malaysian Official 1, dan ramai lagi watak baru yang dikaitkan dengan proses sitaan semua aset mereka di Amerika Syarikat.

Sekalipun proses siasatan di Malaysia sudah dianggap selesai oleh pihak Peguam Negara Malaysia, SPRM, PDRM dan Bank Negara, penemuan bukti baharu ini juga oleh DoJ Amerika Syarikat adalah satu pertikaian kepada kredibiliti dan kebijaksanaan dalam institusi undang-undang negara Malaysia yang masih tidak bebas dan tidak berani membuat pendakwaan ke atas Malaysian Official 1 sejak tahun 2014 skandal ini terbongkar kerana menanggung hutang sebanyak lebih RM48 Billion.

Bertitik tolak daripada perkara ini, pihak SPRM, PDRM dan Bank Negara perlu menyiasat siapakah nama isteri Malaysian Official 1 ini yang sudah heboh di seluruh dunia dengan skandal membeli rantai dan kalung berlian merah jambu bernilai 27 Juta US Dollar menggunakan wang rakyat yang dicuri dari dana awam 1MDB seperti didakwa di dalam saman sivil DoJ ke atas syarikat 1MDB.

Campur tangan oleh isteri Malaysian Official 1 ini adalah satu dakwaan yang cukup berat dan cukup mengejutkan kerana ia sepatutnya tidak berlaku jika pihak Peguam Negara, SPRM, PDRM dan Bank Negara menjalankan siasatan dengan telus dan berhenti melindungi mana-mana pihak yang disebut di dalam saman sivil DoJ pada 15 Jun 2017 lepas.

Rampasan aset yang dimahukan DoJ Amerika Syarikat yang dianggarkan bernilai RM2.3 Billion yang dikaitkan dengan pembelian aset menggunakan wang curi daripada 1MDB adalah satu penemuan baharu yang sepatutnya sudah disiasat oleh pihak penguatkuasa tempatan di Malaysia.

Namun selepas 24 jam pendedahan dakwaan ini di peringkat antarabangsa dilakukan, pihak penguatkuasa pula bertindak seolah-olah melindungi kepimpinan tinggi kerajaan dan syarikat milik kerajaan 1MDB, menyatakan ia dakwaan yang tiada asas bukti.

Oleh itu, untuk menentukan dakwaan ini benar atau tidak, SPRM, PDRM, Bank Negara dan Peguam Negara perlu membuka siasatan baharu dan serbuan secara transparent ke atas isteri Malaysian Official 1 kerana ia adalah watak penting yang mencemarkan proses urus tadbir kewangan sesebuah kerajaan sehingga mencampuri urusan kewangan rakyat Malaysia di dalam 1MDB untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Jika pihak penguatkuasa Malaysia masih hanya mahu membiarkan skandal terbesar ini tanpa siasatan dan dakwaan mahkamah di Malaysia, kita khuatir akan lebih ramai lagi pemimpin yang akan terus melakukan salah guna kuasa untuk menghalalkan amalan mencuri wang rakyat Malaysia hanya kerana kegagalan institusi penguatkuasa melindungi hak rakyat di negara ini.

Jufazli Shi Ahmad adalah setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan Pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah