SPRM Dapat Perintah Interim Wang RM1.452 Bilion Dikaitkan Dengan Najib

NAJIB RAZAK

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Sejumlah wang di London dianggarkan bernilai RM1.452 bilion (USD340,258,246.87) yang dikaitkan dengan konspirasi penipuan melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipohon untuk dibekukan sementara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada pihak berkuasa negara itu.

Perintah interim untuk melarang sebarang urusan bagi wang berkenaan telah diperoleh SPRM di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Berikut kenyataan penuh SPRM:

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk suatu perintah interim bagi melarang urusan dengan harta di luar negara melibatkan sejumlah wang anggaran USD340,258,246.87 (RM1.452 bilion) yang disimpan di dalam akaun escrow sebuah firma undang-undang antarabangsa, Clyde & Co. LLP di London.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan SPRM tersebut yang dibuat mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Perintah interim tersebut berkuat kuasa bermula 16 Julai 2020 sehingga pelupusan permohonan yang dijadualkan pada 28 Ogos 2020.

Sehubungan itu, SPRM akan melanjutkan perintah interim ini kepada pihak berkuasa di United Kingdom melalui “Mutual Legal Assistance” (MLA) untuk harta tersebut dibekukan sementara menunggu pelupusan permohonan tersebut.

Hasil siasatan, SPRM mempercayai bahawa wang tersebut mempunyai kaitan dengan konspirasi penipuan yang antaranya melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PetroSaudi, Tarek Obaid, ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low serta individu-individu berkaitan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak-anak syarikatnya.

SPRM sebagai peneraju inisiatif ini telah menjalankan usahasama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Bank Negara Malaysia, dibantu oleh Agensi Penguatkuasa Undang-undang Antarabangsa melibatkan National Crime Agency (NCA), International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) dari United Kingdom, Federal Bureau of Investigation (FBI), Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat serta Agensi Penguatkuasaan undang-undang Switzerland.