SPRM Cadang Tempatkan Pegawai Kanan Di Pejabat Ketua Menteri

214
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Beebi Koya dan Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi bercakap kepada wartawan ketika sidang akhbar hari ini.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan untuk menempatkan seorang pegawai kanannya di pejabat Ketua Menteri Sabah sebagai usaha pencegahan daripada sebarang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Beebi Koya berkata, penempatan pegawai di semua pejabat Ketua Menteri dan Menteri Besar itu adalah sebagai langkah pencegahan sepanjang masa.

Katanya, cadangan tersebut telah diajukan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal semasa melakukan kunjungan hormat ke atas pemimpin itu di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah (PPNS) hari ini.

Latheefa membincangkan sesuatu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal ketika kunjungan hormat tersebut.

“Datuk Seri Shafie telah memaklumkan kepada kami bahawa dia sangat mengalu-alukan cadangan berkenaan…dan ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas itu.

Turut serta dalam kunjungan hormat itu ialah Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi.

Latheefa berkata, penempatan pegawai itu adalah berasingan daripada unit integriti yang sedia ada di semua kementerian untuk memastikan pencegahan terhadap amalan rasuah lebih berkesan.

Katanya, SPRM akan turut mencadangkan langkah tersebut dilaksanakan di syarikat berkaitan kerajaan di Sabah.

Latheefa bersalaman dengan Shafie ketika kunjungan hormat tersebut.

Jelas beliau, cadangan supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengisytiharkan harta masing-masing juga akan dikemukakan selepas ini.

“Seperti yang telah kami katakan kepada semua wakil kerajaan bukan sahaja di Sabah tetapi Sarawak, Kelantan dan Terengganu, kami di SPRM menawarkan penempatan pegawai kanan di Pejabat Ketua Menteri sebagai pencegahan.

“Selain daripada unit integriti dalam kerajaan negeri, kami mencadangkan supaya ada penambahan pegawai,” katanya.