SPR Diminta Lanjut Tempoh Mengundi Di Zon Merah

Khoo (kiri) bersama Justin dalam sidang media, hari ini.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mempertimbangkan cadangan memanjangkan masa mengundi selama satu jam di kawasan tertentu khususnya zon merah akibat Covid-19, 26 September ini.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata, ia bertujuan mengelakkan bilangan pengundi yang tinggi dalam satu masa ketika proses pembuangan undi.

“Sebelum ini, proses pembuangan undi bermula pukil 7.30 pagi sehingga jam 5 petang, dan mungkin boleh dipanjangkan sehingga pukul 6 petang untuk kawasan zib merah seperti di N.69 Sri Tanjong.

“Justeru, pengundi boleh mempunyai masa lebih untuk menunaikan tanggungjawab dalam masa sama mengurangkan kesesakan di tempat pembuangan undi,” katanya dalam Sidang Media PRN Sabah 2020 N.69 Sri Tanjong Parti Tindakan Demokratik Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir Calon Warisan Plus Justin Wong Yung Bin.

Selain itu, Khoo turut meminta SPR menambahkan maklumat proses pengundian mengikut prosedur operasi standart (SOP) normal baharu dengan kadar segera.

“Misalnya menerusi penerbitan video pendek ketika proses pengundian yang boleh dijadikan panduan kepada orang ramai.

“Menerusi kaedah ini, orang ramai boleh melakukan persediaan awal selain mengurangkan rasa bimbang dalam kalanganpengundi,” katanya.

Tambah Khoo, ia sekali gus membolehkan SPR mencapai target peratusan keluar mengundi.