Spesis Makro Di Bum Bum Mampu Tarik Penyelam Serata Dunia

362
Ahmad Zaki sedang mengenalpasti lokasi tapak selaman makro menggunakan GPS.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Usaha meletakkan Pulau Bum Bum dalam peta dunia sebagai tapak selaman makro dilihat mampu direalisasikan melalui ‘Program Voluntourism: Macro Dive Site Mapping’ yang dilaksanakan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (Motac) Sabah, di sini baru-baru ini.

Pengarah Pejabat Motac Sabah Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, daripada 14 tapak selaman yang diterokai sekitar Pulau Bum Bum, terdapat lapan tapak selaman dimasukkan dalam peta sebagai tapak selaman makro yang mempunyai potensi untuk diteroka.

Papuan Cuttlefish.

Beliau berkata, usaha ini diambil bagi memperkenalkan Pulau Bum Bum sebagai tapak selaman makro pertama di Malaysia seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Katanya, program selama lima hari (18-22 Jun) itu disertai seramai 10 sukarelawan dari Persatuan Pelancongan Semporna dan Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA).

Ahmad Zaki menemui Kuda Laut (seahorse) ketika mengetuai aktiviti voluntourism di Pulau Bum Bum baru-baru ini.

Ahmad Zaki berkata, kawasan perairan Semporna kaya dengan hidupan marin bersaiz kecil (makro).

“Kami berjaya merekodkan beberapa spesis makro yang unik dan endemik seperti skeleton shrimps, hairy shrimps, tiger shrimps, decorator crabs serta orangutan crabs.

Flambouyant Cuttlefish.

“Selain itu terdapat juga beberapa spesis sotong seperti flambouyant, popcorn, bobtail, papuan dan pygmy cuttlefish. Terdapat juga pelbagai spesis nudibranch (seaslug) seperti melibe, thecacera dan Pacifica atau lebih dikenali sebagai pikachu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Ahmad Zaki berkata, kepelbagaian spesis makro yang terdapat di Semporna itu sesuai untuk jurugambar dasar laut profesional mahupun penyelidik yang terlibat dalam dokumentasi hidupan marin makro.

Katanya, potensi yang ada di Pulau Bum Bum ini akan meletakkan pulau ini sebagai tapak selaman yang harus dikunjungi penyelam dari serata dunia.

Skeleton Shrimp.

Penemuan baharu ini akan membolehkan Semporna bukan hanya dikenali kerana keindahan dasar laut yang terdapat di Pulau Sipadan, Mabul dan Kapalai tetapi juga di Pulau Bum Bum yang ternyata mempunyai hidupan marin makro yang pelbagai.

Sementara itu, dive instructor Dendi Ali Omar berkata, penemuan pelbagai spesis makro di Pulau Bum Bum ini dilihat akan membantu dive master dan instructor menjana lebih pendapatan jika penyelam ingin mengambil gambar spesis makro yang terdapat di situ.

DENDI

“Memandangkan spesis makro ini bersaiz kecil dan halus, ia memerlukan dive master dan instructor berkemahiran untuk mengenalpasti hidupan marin berkenaan.

“Kami dilatih untuk mengenal spesis yang bersaiz kecil walaupun ketika menyelam pada waktu malam. Malah ada spesis yang sekecil 2mm,” ujarnya.

Beliau juga berharap kementerian berkaitan boleh menganjurkan kursus khas untuk meningkatkan pengetahuan dive master dan instructor yang bertugas di Semporna bagi menjadi pakar dalam mengenalpasti spesis makro ini.