Speaker Minta Usul Kenyataan Palsu Menteri KDN Tuduh Warisan Isu IMM13

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meminta Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong menulis usul rasmi berhubung Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa membuat kenyataan mengelirukan berhubung dokumen IMM13.

Vui Keong membangkitkan perkara itu mengikut Peraturan Mesyuarat 36(12) selepas Hamzah pada 4 Ogos mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan menghina Majlis Mesyuarat kononnya Parti Warisan Sabah (Warisan) mengeluarkan dokumen IMM13.

Katanya, Hamzah perlu menarik balik kenyataan itu dan meminta maaf kepada dewan.

“Ini adalah Peraturan Mesyuarat 36(12) iaitu mana-mana Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan adalah menghina Majlis Mesyuarat dengan itu boleh dirujuk kepada jawatankuasa, saya cuma ingin bangkitkan sekarang ini, saya hanya ingin mendapatkan arahan daripada pihak speaker.

“Pada sesi penggulungan Kementerian Dalam Negeri yang berhormat Larut dia telah pun mengeluarkan satu kenyataan yang mengelirukan majlis,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Vui Keong berkata, Kerajaan Sabah pimpinan Warisan tidak pernah sama sekali mengeluarkan apa-apa jenis dokumen sama ada Kad Burung-Burung, Sijil Banci atau IMM13, sebaliknya kesemua dokumen itu dikeluarkan ozaman kerajaan PBS, Berjaya, USNO dan Barisan Nasional (BN).

“Jadi kenyataan seperti ini adalah kenyataan palsu tidak benar daripada fakta, daripada kenyataan yang benar kerajaan Warisan tidak pernah mengeluarkan kad IMM13 tidak pernah  mengeluarkan Kad Burung-burung dan tidak pernah mengeluarkan Kad Banci.

“Kad Banci, Kad Burung-burung ini telah pun dikeluarkan zaman PBS, pada zaman Berjaya dan IMM13 juga pada zaman USNO pada 70-an juga 80-an.

“Daripada kenyataan atau laporan daripada seorang Ahli Dewan Negara iaitu Datuk Chong Eng Leong yang sebenarnya dia telah pun mengatakan pada 90-an mantan Ketua Menteri Sabah iaitu Musa Aman telah pun mempengerusikan satu jawatankuasa untuk mengeluarkan kad IMM13 ini, jadi itu pada masa zaman BN,” kata Vui Keong.

Selepas mendengar perkara itu, Azhar Azizan meminta Vui Keong menulis usul secara rasmi kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Kalau hendak diteruskan perkara ini, maka mengikut peraturan 36(12) apa-apa yang mengelirukan itu boleh dirujuk ke jawatankuasa maka silalah membuat usul sedemikian secara bertulis dan berikan kepada pejabat saya,” katanya.