Ia turut menyerlahkan usaha gigih kerajaan untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk, khususnya bagi golongan belia.
Anak jati Spaoh Muhammad Maluddin, 40, berkata sejajar dengan limpahan peluang-peluang ekonomi itu, latihan asas dalam bidang kemahiran perlu disediakan, terutama untuk belia bagi membolehkan golongan berkenaan memenuhi permintaan tenaga kerja pada masa akan datang.
“Pusat-pusat latihan kemahiran dalam pelbagai bidang perlu diwujudkan supaya anak muda di sini dapat menimba kemahiran asas, terutama bagi mereka yang kurang berminat dalam akademik, contohnya dalam kemahiran menyusun batu-bata atau membuat kerja-kerja penyambungan wayar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
“Menerusi latihan formal kemahiran, kalangan belia yang cenderung kepada bidang kemahiran di sini berpeluang memperoleh sekurang-kurangnya sijil bagi memudahkan mereka memohon pekerjaan yang bersesuaian kelak,” katanya.
Menurutnya pusat latihan sedia ada seperti Pusat Giat Mara, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan beberapa pusat lain, banyak tertumpu di pekan Betong.
“Dengan sijil yang ada, mudah untuk mereka memohon kerja, sedangkan sekarang untuk kerja ‘kontrak’ pun upah sudah tinggi, dan ini juga adalah salah satu usaha untuk menyelesaikan masalah sosial di kawasan ini,” katanya.
Seorang peniaga Dayang Ita Abang Dai, 63, pula berkata pekan Spaoh kini semakin menjadi tumpuan orang ramai dan ia membantu meningkatkan hasil jualannya berbanding sebelum ini.
“Sekarang sudah banyak pusat-pusat perniagaan dibuka di sini dan kalau lapangan terbang itu sudah siap, lagilah banyak permintaan, dan ia memang membantu sangat golongan peniaga di sini,” katanya yang menjual kuih-muih tradisional serta pulut panggang, salah satu makanan popular dalam kalangan penduduk tempatan.
Jelasnya jumlah pulut panggang dan kuih-muih yang dihasilkannya setiap hari turut meningkat berikutan peningkatan permintaan daripada pelanggan serta penjual-penjual lain, sekali gus membantunya menjana pendapatan lebih untuk keluarganya.
Terletak kira-kira 270km dari bandar raya Kuching, pekan Spaoh yang turut terkenal dengan ikan buntal kuning itu kini semakin sibuk dengan peningkatan jumlah lalu lintas, selaras dengan kedudukannya berhampiran dengan laluan Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang diusahakan dengan gigih oleh kerajaan.
Spaoh, yang penduduknya bergantung kepada hasil pertanian dan perikanan, terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Saban atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 18 Dis ini dalam pertandingan tiga penjuru.
Bagi Muhammad dan Dayang Ita serta penduduk Spaoh lain yang ditemui Bernama ketika berkunjung ke pekan itu baru-baru ini, rata-rata mereka mengakui bahawa Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu telah membawa banyak pembangunan yang mengubah sama sekali ‘wajah’ kawasan itu.
Sebelum menjadi anggota DUN Bukit Saban bermula pada 2016, Uggah merupakan anggota parlimen Betong selama tiga dekad.
Menurut penduduk tempatan, sikap Uggah yang mesra dengan penduduk tempatan dan sering turun padang untuk meninjau lebih dekat permasalahan dihadapi penduduk membuatkan beliau sentiasa dekat dihati penduduk tempatan.
Pada PRN ke-11, beliau yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional-PBB memperoleh majoriti 4,599 undi menewaskan calon PKR Noel Changgai yang hanya mendapat 925 undi. – Bernama