Sorakan Juara Bergema Di Stadium Likas

365

KOTA KINABALU: Selepas 23 tahun, Stadium Likas akhirnya bergema kembali dengan sorakan kejuaraan penyokong pasukan bola sepak Sabah selepas menyaksikan Piala Liga Perdana dijulang malam ini.

Beraksi di depan 10,000 penyokong, kejayaan tersebut lebih manis apabila Skuad Tambadau menunjukkan aksi sang juara membenam cabaran Kelantan dengan jaringan 1-0.

Turut menyaksikan perlawanan malam ini ialah Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Peter Anthony serta barisan pimpinan Kabinet negeri.

Juhar yang menerima piala berkenaan daripada Mohd. Shafie kemudiannya turut menyampaikannya kepada kapten pasukan, Rawilson Batuil untuk dijulang.

Kali terakhir Sabah memenangi kejuaraan dalam Liga Malaysia ialah pada tahun 1996, manakala kejuaraan musim ini yang telah disahkan di Shah Alam sejak Rabu lalu membolehkan Sabah layak ke Liga Super musim depan untuk bersaing pasukan-pasukan elit negara.

Terdahulu dalam perlawanan malam ini, gol kemenangan Sabah dijaringkan Ahmet Atayev pada minit ke 57 hasil sepakan sudut.

Ketika pemain-pemain lain bersedia menanduk bola di dalam kotak penalti, Atayev sebaliknya bijak melencongkan bola tersebut yang gagal ditampan kemas penjaga gol Kelantan, Mohammad Fikri Che Soh.

Sabah yang beraksi garang sepanjang perlawanan berpeluang melebarkan kedudukan, namun banyak mensia-siakan peluang termasuk sepakan penalti Paunovic yang gagal disudahkan.

Hasil kemenangan itu, Sabah kini mengumpul 43 mata di puncak liga dengan berbaki satu perlawanan menentang Terengganu.

Sementara itu, mengulas kemenangan berkenaan, Mohd. Shafie berkata, perubahan pucuk pimpinan dan pengurusan pasukan yan dibuat sejak tujuh bulan lalu adalah rahsia utamanya.

Sehubungan itu, beliau harap prestasi pasukan dapat dikekalkan untuk menghadapi Piala Malaysia dan Liga Super pada musim akan datang.

“Ini adalah kejayaan yang disumbangkan oleh semua pihak termasuk Safa, pengurusan, jurulatih dan para pemain yang begitu berdedikasi.

“Kita sudah menjadi juara tempoh hari dan kejayaan itu berjaya kita kekalkan pada malam ini, justeru saya yakin dengan kerja keras tiada yang mustahil untuk pasukan menjuarai Liga Super,” katanya.