SOP Sambutan Tahun Baharu Cina Bergantung Kepada Kes Semasa

KOTA KINABALU: Situasi kes Covid-19 semasa yang masih tinggi akan mempengaruhi penetapan prosedur operasi standard (SOP) sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun, cadangan SOP Tahun Baharu Cina sedang dikemaskini oleh Kementerian Perpaduan Negara.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, beliau percaya perkembangan semasa kes Covid-19 akan dilihat dalam menetapkan SOP Tahun Baharu Cina.

Katanya, beliau tidak dapat menjangkakan adakah SOP yang dikeluarkan akan lebih ketat atau sebaliknya. Tetapi, ia akan menggambarkan keseriusan kerajaan dalam menangani penularan jangkitan Covid-19.

Tambahnya, beliau percaya semua orang memahami perkembangan kes semasa dan lebih memilih untuk berdisiplin dalam mengadakan sambutan perayaan.

Masidi berkata, dengan melihat kes semasa, beliau tidak fikir orang mahu meraikan sambutan Tahun Baharu Cina secara besar-besaran kerana semua orang mengambil berat soal kesihatan dan keselamatan diri masing-masing.