SOP KKM, SPR Bantu Proses Mengundi Berjalan Lancar

Sarifuddin bersama isteri selepas selesai mengundi di Kolej Vokasional Tawau.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) N.72 Merotai, Sarifuddin Hatta, menyifatkan prosedur operasi standart (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat membantu pengundi menunaikan tanggungjawab membuang undi, hari ini.

Menurut Sarifuddin, dalam tempoh lima minit, dia berjaya menunaikan tanggungjawab tersebut di Kolej Vokasional Tawau, pada jam 9.30 pagi tadi.

“Alhamdulillah, saya selesai membuang undi hari ini.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan perjalanan mengundi hari ini…. jika tidak ada Covid-19 sekali pun, SOP begini wajar dilakukan bagi memudahkan penguni,” katanya.

Turut hadir mengiringi Sarifuddin, isterinya, Hazlina Ismail.

Sarifuddin meminta orang ramai keluar mengundi mengikut masa yang ditetapkan SPR.

“Selepas ini saya akan melawat beberapa kawasan lain bagi memberi sokongan moral kepada petugas dan jentera parti untuk terus berjuang,” katanya.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Merotai itu, berdepan saingan enam penjuru yang menyaksikan cabaran dari calon parti Usno, LDP, PCS, Pakatan Nasional dan Harapan Rakyat.

Sementara itu, tinjauan Borneo Today di beberapa pusat mengundi sekitar Apas dan Merotai mendapati orang ramai mula turun mengundi seawal jam 7 pagi tadi.

Petugas SPR termasuk Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut memastikan orang ramai beratur dan menjaga penjarakan fizikal, selain mengagihkan pelitup muka serta sarung tangan.